BN pertaruh Jamilah di DUN Tanjung Datu

KUCHING: Seperti dijangka, balu Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Puan Sri Jamilah Anu, 62, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, 18 Februari ini.

Dimumkan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Abang Openg selepas mempengerusikan mesyuarat khas majlis tertinggi parti itu di Ibu Pejabat PBB Sarawak, Jalan Bako di sini jam 3.45 petang tadi, pemilihan itu dipersetujui sebulat suara oleh pucuk pimpinan PBB, parti komponen BN Sarawak, dan cawangan parti PBB Cawangan.

Malah pemimpin masyarakat, termasuk Ahli Jawatankuasa PBB Tanjong Datu hadir dalam mesyuarat khas itu bagi mendapatkan pandangan akar umbi selain mengukuhkan sokongan.

“Ia sebagai penghormatan terhadap sumbangan Adenan dan menyambung legasi kepemimpinannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu,” katanya.

Jamilah katanya, disenangi rakyat peringkat akar umbi, selain memiliki aura suaminya.

“Wajahnya tidak asing di DUN Tanjong Datu, malah cukup disenangi rakyat di peringkat akar umbi.

“Biarpun tidak terbabit secara aktif dalam politik, namun beliau banyak bersama-sama suaminya ‘turun padang’ bertemu rakyat ketika Allahyarham mewakili DUN Muara Tuang, Parlimen Batang Sadong hinggalah DUN Tanjong Datu,” katanya.

abg jo jamilah01

Keputusan itu kata Abang Johari, turut mendapat ‘restu’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN Pusat.

Kerusi DUN Tanjong Datu kosong susulan kematian Tok Nan pada 11 Januari lalu, empat hari selepas dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan.

Dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11), 7 Mei tahun lalu, Allahyarham memperoleh majoriti 5,892 undi, menewaskan calon PKR, Jazolkipli Numan.

Ditanya mengenai persiapan jentera pilihan raya, Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak, berkata PBB dan BN Sarawak sudah bersiap sedia menggerakkan jenteranya.

“Kita sedia maklum beliau (Jamilah) masih dalam tempoh ‘edah’ susulan kematian suaminya.

“Kita akan membantu beliau berkempen dan memastikan penguasaan BN kekal di Tanjong Datu,” katanya.

Katanya lagi, manifesto BN bagi PRK Tanjong Datu akan diumumkan selepas penamaan calon lebih-lebih lagi tempoh yang panjang untuk berkempen. – Sarawakvoice