KUCHING: Penyerang import Sarawak, Mateo Roskam dijangka akan menjalani proses imbasan MRI hari ini bagi mengenal pasti bentuk kecederaan yang dialaminya.

Pemain berusia 29 tahun itu sebelum ini mengadu tidak dapat beraksi dalam pertemuan dengan Kedah berikutan kecederaan pada bahagian paha.

Malah Roskam yang tersenarai sebagai kesebelasan utama, hanya sempat memanaskan badan, manakala pada separuh masa kedua, mengambil keputusan memakai pendakap kaki.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut dengan pakar perubatan gagal menemui punca kesakitannya, yang membawa kepada ujian MRI hari ini.

Ketua Jurulatih Sarawak, David Usop berkata, beliau kecewa tidak dapat menurunkan Mateo dalam aksi tersebut, tetapi tidak mempunyai sebarang pilihan.

“Kini kami sedang menyelidiki latar belakang dan sikapnya.

“Kami memilihnya dahulu pun kerana terdesak untuk mendapatkan penyerang.

Roskam katanya, memenuhi ciri-ciri yang diperlukan, menyebabkan mereka tidak melakukan selidikan lanjut.

Menurut David, jika keputusan MRI menunjukkan sebaliknya, beliau akan berbincang dengan pemain yang berasal dari Split, Croatia itu untuk mengenal pasti masalah sebenarnya.

“Kita lihat perkembangannya selepas itu. Hendak membuat keputusan sebarangan … itu bukan cara kita. Semuanya perlu direkodkan,” tambahnya lagi.

Menjelang pertemuan dengan Tok Gajah katanya, beliau beharap dapat menurunkan Roskam.

“Memang saya perlukan penyerang import di dalam pasukan kerana keadaan fizikal dan keupayaan mengawal bola.

“Tetapi jika beliau tidak mampu dan tidak cergas, kita terpaksa lupakan dahulu.

“Sewaktu aksi di Stadium Darulaman yang lalu, kita menang sepanjang 70 minit tanpa bantuannya, ” ujarnya lagi.

Posisi Roskam kemudian diambil alih penyerang muda Abdul Rahim Abdul Razak, yang menunjukkan mutu permainan yang bertenaga, berani dan sering mencemaskan kubu lawan.

David turut membayangkan untuk menurunkan Abdul Rahim sekali lagi jika Roskam tidak cergas untuk beraksi di hadapan penonton sendiri kelak.

Roskam sebelum ini pernah beraksi semusim bersama-sama Sime Darby pada tahun 2014 dan mencipta sembilan gol menerusi 28 penampilan.

Pada musim 2015-2016, beliau mencipta lapan gol untuk Tampines Rovers untuk 30 penampilan. – Sarawakvoice