KOTA KINABALU: Seramai 22 daripada 30 mangsa bot catamaran yang pecah dan karam berjaya diselamatkan pada Ahad di laut Sabah.

Dalam kemalangan yang berlaku pada hari pertama Tahun Baru Cina itu, dua penumpang dilaporkan tewas.

Sementara, pihak berkuasa masih meneruskan ucaha mencari enam lagi mangsa yang hilang di kawasan mencakupi 1,400 kilometer persegi di Laut China Selatan.

Operasi mencari dan menyelamat enam lagi mangsa diteruskan melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia dengan dibantu dua aset dari Brunei Darussalam.

Bot membawa 27 pelancong China dan tiga krew hilang kontak selepas belayar 12 jam bermula 9 pagi Sabtu dari jeti Tanjung Aru Kota Kinabalu menuju Pulau Mengalum, 56 kilometer di barat laut dari ibu negeri Sabah.

Pesawat tentera melihat kapten dan kru bot berkenaan terapung di laut yang kemudian diselamatkan oleh bot pelancong lain.

Mereka yang selamat ditemui berkumpul bersama dalam tiga kumpulan, masing-masing berpelampung pada ikatan tali khas.

Sementara, menurut mangsa yang terselamat, selepas terapung selama hampir 32 jam di laut, mengaku mereka terpaksa mengambil tindakan menayat hati apabila melepaskan rakan mereka yang mati atau nyawa-nyawa ikan daripada tali yang mengikat mereka.

Kosmo.com melaporkan, mangsa terselamat, Fan Li Xia, 40, bersama tujuh rakan lain yang dijumpai bot nelayan di perairan Semarang memberitahu, mereka terpaksa meleraikan tali rakan yang tidak lagi bermaya dan sudah mati.

Tindakan diambil bagi mengurangkan beban dan memudahkan pergerakan.

“Perasaan pada waktu itu bercampur-baur, tetapi apakan daya kami perlu terus kekal berada di permukaan air,” ujar Li ketika ditemui di Hospital Queen Elizabeth 1 pada Isnin.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi catatannya di Facebook dan Twitter mahu siasatan terperinci dilakukan mengenal pasti punca sebenar insiden bot katamaran yang karam di perairan Sabah itu.

Perdana Menteri menegaskan buat masa ini tumpuan diberi kepada usaha mencari dan menyelamat enam lagi mangsa yang masih hilang.

“Saya pandang serius tragedi bot karam di Sabah, dan saya mahu siasatan terperinci dilaksanakan untuk kenal pasti punca kejadian,” ujar beliau.

Najib menggesa semua pihak agar sentiasa mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan kerajaan demi memastikan keselamatan. – Sarawakvoice