Monday, November 28, 2022

Kuching FA timba pengalaman, tiada sasaran luar biasa dalam Liga FAM

Secara Rawak

KUCHING: Berbekalkan pengalaman dan reputasi sebagai pemenang edisi pertama Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Peringkat Kebangsaan, Kuching FA dipercayai mampu memberikan saingan sengit dalam Liga FAM yang akan membuka tirai pada 12 Februari depan.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penyertaan itu membuka lembaran baharu kepada sukan bola sepak di negeri ini, sekali gus memberi petanda positif bahawa Sarawak tidak akan ketandusan pemain pelapis.

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah
Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

“Atas kepercayaan itu, kita menuntut pasukan ini bermain dengan penuh komited dan semangat yang jitu, dan insya-Allah akan mengulangi kejayaan yang digalas pada tahun lalu.

“Kita akan terus menyokong pasukan ini yang bernaung di bawah Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kuching FA, Fazruddin Abdul Rahman berkata, penyertaan pasukan ini dilihat sebagai landasan bakat-bakat baharu di negeri ini mengembangkan bakat mereka.

“Ia pasukan baharu yang dibentuk berbanding pasukan yang menjuarai LBR pada musim lalu.

“Sebabnya, ada pemain yang tidak dapat memberikan komitmen kerana pekerjaan hakiki.

Kebanyakan pemain katanya, dihimpunkan daripada pelbagai kelab di Kuching.

“Sepanjang dua minggu lalu selepas dikumpulkan, mereka telah menunjukkan, keserasian dan komitmen yang baik.

lbr00

Kata Fazruddin, pihaknya telah bekerjasama baik dengan FAS dalam membentuk pasukan ini, dan berharap ia dapat menjadi pasukan yang membekalkan bakat baharu kepada pasukan utama negeri.

“Kita juga berterima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara kerana berkesanggupan membantu ketika Kuching FA menjadi tuan rumah kelak,” katanya lagi.

Tambahnya, sebagai pasukan muda yang pertama kali tampil dalam liga tersebut, beliau tidak mengharapkan sebarang kejayaan luar biasa.

“Cukuplah kita mensasarkan untuk kekal dalam Liga FAM pada musim depan.

“Ini adalah langkah pertama dan kita masih perlu menimba pengalaman, apatah lagi dengan keseluruhan pemain tempatan.

“Insya-Allah kita akan mensasarkan kejayaan pada musim hadapan,” katanya lagi.

Bagi musim Liga FAM 2017, Kuching FA telah mendaftarkan pemain seperti Ahmad Shakri Tuah, Mohd Saiful Kamel Jamel, Mohamad Fareez Tukijo, Mansor Keram, Wan Aminuddin Wan Mahmud, Mohd Izzuddin Jahidin, Awang Mohd Tarmizi Awang Mahdini, Sufizal Ismail, Mohamad Asrullah Drahman, Mohammad Khairul Eshak, Mohamad Zakaria Ishak, Remenor Pit, Zambery Zainal, Zulmizan Bujang, Ismail Bujang dan Mohd Zufika Mustapha.

Turut tersenarai Iqmal Mustaqkim Kamrodin, Mohammad Muizzuddin Muqri Mazelan, Rafiezan Razali, Razziman Razali, Nazaruddin Bohri, Mohammad Shafitri Salim, Nasyirat Mustaqim Sepawi, Muhammad Farhan Yusuf dan Mohd Arif Azizan Ederis.

Pasukan ini akan dikendalikan oleh bekas pemain Sarawak, Sharizan Sahari dan dibantu oleh Ideris Untong. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru