Kampung Perpat akan dibina jalan darat – Wahab Aziz

0
32

SARATOK: Tuah ayam nampak di kaki, tuah Kampung Perpat seakan di jejak tayar kenderaan lasak 4×4 pasukan Jelajah Borneo Kabong/Saratok apabila wakil rakyat kawasan DUN N.38 Kalaka, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz memberi respons positif berhubung isu pembinaan jalan darat ke kampung itu petang kelmarin.

Datuk Wahab dalam kenyataan balasnya terhadap Program Jelajah Borneo Saratok/Kabong menzahirkan ucapan tahniah kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diketuai Ketua Kampung (KK) Azman Nawi kerana berjaya mengurus aktiviti bersama penduduk kampung dan membantu sebagai penunjuk arah kepada kumpulan pemotoran lasak itu hingga berjaya menjejak kaki ke Kampung Perpat dengan menggunakan laluan darat untuk julung kalinya.

Turut tidak ketinggalan penghargaan beliau tujukan kepada Ketua Ekspedisi Jelajah Borneo, Majalifah Awang Mustafa yang bekerja keras untuk program tersebut.

Beliau seterusnya menyatakan usaha kini sedang beliau lakukan untuk memastikan hasrat penduduk Perpat untuk mendapat jalan darat dalam masa terdekat ini.

“Berkaitan dengan jalan dari Kampung Perpat ke jalan besar Sessang/Pusa melalui ladang Tabung Haji, ia ada dua bahagian.

“Bahagian pertama dari Ladang Tabung Haji ke jalan besar Sessang/Pusa adalah di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan di bawah SDO, dan jalan ini bermula dari Kampung Paloh Kabong.

“Perbincangan selanjutnya bagi tujuan pembinaan jalan darat terus ke Kampung Perpat akan dibuat dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Ugah dalam bulan Februari ini kelak.

“Bahagian kedua iaitu naik taraf jalan di Kampung Darat Perpat yang mungkin dapat disambung ke jalan ladang kelapa sawit Tabung Haji telah diluluskan dibawah program Rancangan Tranformasi Pesisir/Pedalaman (RTP) dari peruntukan kerajaan negeri untuk 2017 ini. Kalau dana ini tidak mencukupi kelak boleh ditambah dlm RTP 2018,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu Wahab meminta penduduk di situ bersabar dan memberi masa untuk beliau meneruskan usaha ke arah itu.

Wahab seterusnya memuji Pegawai Daerah Kabong, Kamaludin Haji Alkap yang begitu gigih dan proaktif melaksana pelbagai program dan merencana banyak pelan pembangunan untuk daerah itu.

“Syabas kepada DO Kabong, Kamaludin Haji Aklap atas perancangan banyak aktiviti. Program Pesta Beras Wangi Lubok Nibong dan Pesta Gerigat yang akan dianjurkan dalam bulan April dan Julai kelak. Saya setuju agar program utama Jelajah Borneo Kabong/Saratok kelak dapat diadakan bersama dgn Pesta Beras Wangi Lubok Nibong.

“Satu lagi projek besar yg akan dibincang dgn Datuk Douglas Ugah kelak ialah naik taraf 20km Jalan Bajau/Kupang dan pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Krian dari Pekan Saratok. Saya telah diberitahu bahawa Konsultan akan dilantik dalam masa terdekat untuk merangka pelan serta anggaran bagi kedua projek tersebut,” tambah Wahab.

Berikutan kenyatan itu, KK Kifli Tapa, 62, berharap Tahun Ayam akan membawa tuah kepada kampung itu pada tahun ini.

Kifli berharap benar agar segala perancangan yang dibuat akan disusuli dengan tindakan positif dan bukan sekadar menjadi perancangan atas kertas yang tidak akan wujud secara relaiti.

Dan beliau seterusnya mengucapkan berbanyak terima kasih atas perhatian wakil rakyat mereka dalam membela nasib penduduk di situ. – Sarawakvoice