Gara-gara Trump, saham AS merudum, penerbangan global huru-hara

NEW YORK: Selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menandatangani larangan perjalanan ke atas tujuh negara majoriti Islam memasuki AS, saham negara kuasa besar itu merudum parah.

Antara yang digantung memasuki AS bermula Jumaat lepas ialah rakyat dari Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.

Bimbang dengan dasar Trump yang pernah disuarakan semasa kempen pemilihan presiden AS, pelabur menarik pelaburan mereka.

Saham syarikat tenaga yang melonjak sejak tahun lalu mengalami kerugian terbesar.

Mereka bimbang dengan dasar Trump yang menyebabkan mereka sukar mengambil pekerja dari negara yang senarai hitam memasuki AS.

Pelabur pula bertindak mengambil untung dengan menjual saham syarikat bahan mentah dan industri sejak pilihan raya November lalu.

AP melaporkan, saham di Eropah turut terkesan merosot.

Ahli strategi Wells Fargo Investment Institute, Sameer Samana, berkata walaupun pelabur tidak terlalu bimbang dengan dasar Trump itu, namun mereka berada dalam ketidakpastian.

Perusahaan Dow Jones jatuh 122.65 mata, atau 0.6 peratus kepada 19,971.13.

Komposit Nasdaq jatuh 47.07 mata, atau 0.8 peratus, kepada 5,613.71 selepas ditutup tinggi pada Jumaat.

Kaunter penerbangan juga menjunam jatuh selepas perintah eksekutif Trump menyebabkan berlaku protes dan gangguan di lapangan terbang.

Syarikat penerbangan Emiriah Arab Bersatu, Emirates menukar juruterbang dan kru kabinnya untuk penerbangan ke AS susulan larangan perjalanan mengejut itu.

Menurut jurucakap Emirates kepada Reuters, syarikat penerbangan jarak jauh terbesar dunia yang terbang ke sebelas bandar raya di AS setiap hari melakukan rombakan bagi memenuhi syarat terbaru Trump

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa dalam kenyataan menyifatkan keputusan tersebut mengejutkan syarikat penerbangan seluruh dunia.

Perunding aviasi bebas, John Strickland berkata larangan itu mencetuskan kekeliruan daripada aspek pentadbiran dan ketidaktentuan kepada ramai penumpang selain merumitkan syarikat penerbangan merancang program mereka.

Larangan tersebut membabitkan juruterbang dan kru kabin dari tujuh negara berkenaan.

Manakala, semua kru penerbangan yang bukan warganegara AS pula perlu memohon visa khas untuk memasuki negara itu.

Syarikat penerbangan Emirates menggaji lebih 23,000 pramugari dan pramugara serta 4,000 juruterbang dari seluruh dunia termasuk AS, Eropah dan Asia Barat.

Sementara, Japan Airlines (JAL) menyatakan pihaknya mula menyaring penumpang dari negara yang terjejas sebelum penerbangan ke AS.

Nicoley Baublies dari Kesatuan Pekerja Kabin Jerman berkata, sekatan Trump luar biasa.

“Lufthansa (penerbangan Jerman) sentiasa memastikan ia memiliki kru daripada pelbagai bangsa dan warganegara.

“Larangan ini menyebabkan kami buat pertama kali terpaksa memeriksa kerakyatan pekerja kami,” kata Baubliues.

“Kami berharap larangan ini tidak mengakibatkan tempat duduk menjadi kosong kerana orang ramai tidak tahu ke mana mereka boleh melakukan perjalanan dan menggunakan pasport mana,” kata Baublies. – Sarawakvoice