Galak golongan muda miliki rumah pertama, jual bawah RM300,000 dan berkualiti

MIRI: Ramai yang ingin memiliki rumah pertama termasuk golongan muda, tetapi tidak mampu lantaran menahan diri berbuat demikian kerana kebanyakan harga rumah di pasaran terlalu mahal.

Menteri Muda Pengangkutan Darat dan Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin menyarankan agar pemaju di negeri ini membina rumah mengikut harga mampu iaitu di bawah harga RM300,000, pada masa yang sama, ia tetap berkualiti.

Selain harga mampu milik dan berkualiti, Lee menggesa pemaju perumahan lebih kreatif dan berinovasi dalam mempersembahkan reka bentuk rumah berkonsep moden, menepati gaya hidup masyarakat baru.

Bercakap pada Majlis Pelancaran Rumah Teres Satu Tingkat ‘Terrasse’ yang dimajukan Naim di kawasan perumahan pinggir tasik zon Naim SouthLake Permyjaya pada Isnin, Lee berkata, pemaju terkenal seperti Naim Land Sdn Bhd (Naim) wajar menghasilkan kediaman moden pada harga di bawah RM300,000.

Sementara itu, pada majlis pelancaran yang diadakan serentak sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Naim di Rumah Kelab Naim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Naim Holdings Berhad Datuk Mohd Nizam Abdul Malik berkata pelancaran rumah teres itu membawa konsep gaya kontemporari dan reka bentuk lebih terbuka berbanding rekaan sebelum ini.

Beliau berkata, lokasinya di pinggir tasik dikelilingi taman yang indah memberi ketenangan kepada penghuninya, selain mempunyai ciri-ciri keselamatan serta kemudahan prasarana. – Sarawakvoice

lee kim shin naim00