Bengkel Cyber Copywriting glokalkan produk tempatan secara online

PONTIAN: “Kita perlu serius glokalkan produk dan perkhidmatan tempatan ke peringkat antarabangsa,” ujar Dr Zulkifli Khair pensyarah Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tambah beliau lagi, “jiran sebelah mungkin berkata apa yang kita buat biasa-biasa sahaja, namun hakikatnya ia unik dan bertaraf dunia.

“Tempe dan kerepek mungkin biasa bagi kita, namun tidak di Eropah misalnya.

“Begitu juga dengan seni budaya di kampung,” ujar Dr Zulkifli sewaktu mengendalikan Bengkel Cyber Copywriting di Pusat Internet 1Malaysia Permatang Sepam, Benut, Pontian.

Sebanyak 15 produk dan perkhidmatan tempatan berjaya dipasarkan secara atas talian pada akhir bengkel berkenaan.

Bengkel kerjasama UTM dengan Kerajaan Negeri Johor, Muafakat Johor dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berlangsung di pusat internet dilengkapi prasarana 20 komputer dan smart board.

bengkel00

Menurut Dr Zulkifli, “ada banyak contoh perniagaan semakin maju hasil daripada pemasaran menerusi internet termasuk media sosial.

“Produk tudung adalah antara yang paling signifikan.”

Tambah beliau, grup jaringan media sosial dalam kalangan peserta diwujudkan demi memantau perkembangan pemasaran atas talian produk dan perkhidmatan masing-masing.

“Dalam konteks promosi pelancongan di facebook page, Cuti.my adalah antara yang paling tinggi mendapat ‘like’ di Malaysia.

Ujar beliau lagi,“Tabung Haji Travel pula yang paling cepat membangun dengan peningkatan jumlah ‘like’ yang ketara.”

Penghulu Mukim Benut, Mohd Hisham Hj Mazlan turut hadir dari awal hingga akhir bengkel yang diadakan pada 15 Januari itu.

Hisham ketika ditemui wartawan berkata, “Pontian merupakan antara lokasi paling unik di Malaysia dengan gabungan budaya dua suku kaum Jawa dan Bugis.

“Masing-masing mempunyai persembahan kebudayaan dan makanan tersendiri sekali gus mampu menjadi pakej pelancongan menarik.”

Hisham turut menjelaskan bahawa bengkel merupakan sebahagian daripada projek memajukan pelancongan di Pontian inisiatif Menteri Besar Johor menerusi Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ).

Dr Zulkifli menambah, “program ini kelak akan didokong oleh mobile app ‘Visit Pontian’ yang kini sudah 60 peratus siap hasil gabungan kepakaran dari Fakulti Pengurusan, MAGICX dan Fakulti Kejuruteraan Tenaga UTM.” – Sarawakvoice

bengkel01