Personal touch kelebihan Jamilah – Dr Nadrawina

Puan Sri Datuk Amar Jamilah Anu merupakan nama besar yang tersenarai sebagai dua pilihan akhir sebagai calon PRK Tanjung Datu. Wartawan Putri Balqish menemui Pensyarah Kanan Kajian Politik UiTM Cawangan Samarahan, Dr Nadrawina Isnin untuk mendapatkan pandangan.

Nama Puan Sri Jamilah Anu tiba-tiba mencanak sejak sehari dua ini. Khabarnya bersaing dalam senarai dua finalis sebagai calon PRK Dun Tanjung Datu?

Alhamdulillah. Itu berita baik untuk masyarakat wanita di negeri ini. Saya yakin, jika diberi peluang, Puan Sri boleh berkhidmat sebaik mungkin.

Justifikasi?

Sebab beliau mempunyai karektor ibu yang kuat. Seorang “sparring partner” kepada Ketua Menteri untuk tempoh lebih dua tahun. Juga memahami pahit manis sebagai isteri orang politik, baik ketika Tok  Nan sebagai wakil rakyat tanpa jawatan, menteri muda, menteri dan Ketua Menteri.

Saya juga difahamkan bahawa beliau sering mewakili suami di kawasan, dan mempunyai personal touch yang cukup mengagumkan.

Maknanya, tiada masalah penerimaan?

Saya rasa tidak. Saya yakin tidak.

Dr, ada bezanya menjadi isteri kepada wakil rakyat dan menjadi wakil rakyat?

Dr Nadrawina-0001Memang ada. Tetapi kita juga perlu bersikap adil. Menjadi isteri yang memahami tugas suami dan bersama-sama suami adalah sama sekali berbeza dengan isteri yang tidak sama sekali peduli “kerja” suami.

Bagi Jamilah yang amat dicintai Adenan, beliau jatuh pada kategori nombor satu. Beliau sering bersama-sama suami, memahami dan mentelaah keperluan rakyat di bawah sana.

Jadi penukaran status itu bukan masalah. Malah dalam kalangan wanita di kawasan, saya dimaklumkan bahawa mereka lebih akrab dengan Jamilah berbanding suaminya. Mereka menganggap beliau sporting, mesra, tidak pilih bulu dan prihatin.

Dari segi kemampuan?

Beliau masih mampu untuk sekurang-kurangnya satu penggal. Banyak lagi yang lebih berusia dalam Dun Sarawak sekarang. Malah melaksanakan tugas mendekati rakyat bukan sesuatu yang baharu.

Saya yakin, rasa cintanya terhadap Adenan akan memberikan kekuatan kepadanya untuk meneruskan legasi Tok Nan. Banyak kerja yang tergendala dan perlu diselesaikan.

Pada masa yang sama, ia waktu yang sesuai untuk beliau menyibukkan diri, daripada diulit kerinduan di Damai Jaya.

Tiada masalah untuk Puan Sri Jamilah kerana anak-anak beliau sudah dewasa.

Jika dipilih sebagai calon, apa yang boleh beliau tawarkan?

Perkara pertama di sini ialah kesaksamaan gender. Tidak bermakna Puan Sri Jamilah seorang perempuan, beliau tidak boleh menyaingi lelaki.  Kita ada banyak wakil rakyat wanita, antaranya Datuk Seri Rohani Karim dan Datuk Seri Nancy Shukri, selain Datuk Fatimah Abdullah. Dalam kelembutan ada ketegasan.

Namun yang paling mengujakan ialah rakyat Tanjung Datu dapat seorang ibu. Sebab Puan Sri Jamilah lebih disenangi sebagai seorang ibu. Ibu yang melindungi anak, berjuang untuk anak dan menegur dengan kasih sayang. Dan membebel seperti seorang ibu kerana mahu anaknya menjadi seorang yang baik.

Jadi harapan Dr?

Saya menyokong penuh jika beliau diangkat sebagai calon. Banyak tugas yang perlu digalas. Banyak harapan yang perlu dilunaskan. Dan saya yakin beliau mampu menghadapinya.

Kita sudah ada banyak contoh di Malaysia di mana anak-beranak; adik-beradik; mahupun sepupu sepapat yang berjinak dalam politik.

Sekiranya gandingan ini walaupun datangnya daripada sebuah keluarga tetapi berjuang untuk hak rakyat, maka tidak menjadi masalah.

Malah gandingan mantap ini membolehkan tugas mereka lebih memudahkan kerana mereka saling memahami. Yang penting, rakyat diutamakan bukan diri sendiri.

Walaupun saingannya anak tiri sendiri?

Itu asam garam politik. Adik-beradik, anak-beranak menawar diri tidak menjadi kesalahan dalam tuntutan demokrasi. Ia juga bukan perkara baharu. Cuma saya doakan, tidak berlaku tuduh-menuduh, lobi yang melampau dan fitnah-memfitnah. Yang terbaik adalah niat untuk meneruskan legasi Tok Nan.

Terima kasih. – Sarawakvoice