KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa lemas di Pantai Damai Puri di sini diteruskan untuk hari kedua hari ini.

Menurut Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Azaharul Sahari, sebanyak 50 anggota terlibat dalam gerakan yang bermula jam 8.30 pagi tadi.

Mereka terdiri daripada anggota Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Relawan Malaysia serta pasukan pengawal pantai dan sukarelawan daripada Kem Permai.

“Kita menggerakkan tiga aset bot termasuk sebuah bot amfibia di tengah laut, manakala unit udara Polis dijangka diatur gerak untuk menyokong pencarian pada sebelah petang.

Kata Azaharul, ketika ini proses pencarian berlangsung sehingga radius 350 meter dari lokasi mangsa hilang manakala pencarian di gigi air meliputi kawasan sejauh 450 meter, sehingga ke Kem Permai.

“Biarpun pasukan Penyelamat Dalam Air dalam keadaan siap siaga, namun proses SAR hanya dilakukan secara permukaan berikutan keadaan cuaca, angin kencang serta laut yang bergelora.

Ketika berita ini ditulis, air laut sedang pasang dan dijangka pasang sepenuhnya pada jam 6.56 petang.

Dalam kejadian semalam, mangsa dan dua rakan lain sedang mandi di kawasan berbatu ketika ombak besar dan amaran bendera merah telah dinaikkan.

Mereka sedang seronok mandi ketika air di paras dada dan di luar pengetahuan pengawal pantai, menyebabkan dua daripada mereka kemudian ditarik arus ombak manakala dua lagi sempat diselamatkan rakan mangsa.

Identiti mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Usman Suharna, 20 tahun dan Rusmana, 44 tahun. Kedua-duanya merupakan pekerja kilang. – Sarawakvoice