KUCHING: Bantuan Unit Udara Polis dalam proses operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa lemas di Pantai Damai Puri di sini petang tadi berjaya menemukan salah seorang daripada mereka.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Azaharul Sahari, berkata mayat tersebut dikesan timbul di permukaan oleh juruterbang helikopter polis kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang, dan 500 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba.

“Mangsa dikesan sekitar jam 3.55 petang dan pasukan SAR dikerahkan ke lokasi untuk mengeluarkannya,” katanya ketika dihubungi.

Mangsa yang tidak berbaju dibawa ke pinggiran batu sebelum dibawa naik menggunakan pengusung.

Identiti mangsa kemudian disahkan oleh rakannya sebagai Rusmana, 44 tahun.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hanyut ditarik ombak ketika mandi bersama tiga rakannya yang lain di pinggiran batu, dekat pantai tersebut tengah hari semalam.

Seorang lagi rakannya yang masih hilang dikenal pasti sebagai Usman Suharna, 20 tahun.

Dua rakannya yang lain bagaimanapun sempat diselamatkan.

Ketika mereka berenang di situ, air berada pada paras dada.

Kata Azaharul, proses SAR pada hari kedua diaturgerakkan sejak jam 8.30 pagi tadi.

Pasukan SAR terdiri daripada anggota Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Relawan Malaysia serta pasukan pengawal pantai dan sukarelawan daripada Kem Permai.

“Kita menggerakkan tiga aset bot termasuk sebuah bot amfibia di tengah laut, manakala unit udara Polis menyokong pencarian pada sebelah petang.

Kata Azaharul, proses pencarian di laut berlangsung sehingga radius 350 meter dari lokasi mangsa hilang manakala pencarian di gigi air meliputi kawasan sejauh 450 meter, sehingga ke Kem Permai.

“Biarpun pasukan Penyelamat Dalam Air dalam keadaan siap siaga, namun proses SAR hanya dilakukan secara permukaan berikutan keadaan cuaca, angin kencang serta laut yang bergelora.

Operasi ditangguhkan pada jam 6.30 petang tadi. – Sarawakvoice