Tahun Ayam, Kampung Perpat didatangi tamu luar biasa

0
17

SARATOK: Penduduk Kampung Perpat yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.38 terkejut dan seperti bermimpi apabila dikunjungi tetamu luar biasa ketika sambutan Tahun Baharu Cina dan Tahun Ayam petang semalam.

Pelik bunyinya tapi itulah hakikat apabila kampung ini didatangi enam kenderaan pacuan empat roda yang bergerak dalam Siri Pra Jelajah Borneo Saratok/Kabong 2017. Bagaimanapun dua kenderaan lagi terkandas lantaran terbenam dalam lumpur ketika ekspedisi itu.

Terdiri daripada 15 orang peserta, rombongan berkenaan terpaksa mengharungi laluan ban (benteng) yang dibina di kawasan ladang kelapa sawit sebagai laluan kenderaan darat masuk ke kampung itu.

Kenderaan-kenderaan berkenaan mencatat sejarah sebagai kenderaan darat pertama berjaya sampai dan masuk ke Kampung Perpat setakat ini.

Laluan sepanjang 9.872 kilometer dari Ladang Tabung Haji ke kampung Perpat yang hanya merupakan laluan tanah liat tanpa berbatu sebelum ini merupakan jalan untuk mengangkut buah kelapa sawit dan lorong berjalan kaki.

Namun jalan berkenaan tidak dapat dilalui ketika hujan kerana becak dan berlumpur. Pemandu pacuan empat roda yang terlibat juga berdepan tugas sukar mengendali kenderaan masing-masing sebelum tiba di penempatan penduduk di Perpat.

Jurucakap program memberitahu pihak yang terlibat dengan Jelajah Borneo itu turut mendapat restu pihak pelancongan negeri.

Kini mereka dalam usaha merintis laluan darat ke kampung itu sebagai penanda aras dan melihat potensi pembinaan jalan darat untuk kemudahan penduduk kampung dalam masa terdekat.

Kampung itu kini hanya dihubungkan dengan jalan air dan berdepan banyak masalah apabila hendak ke luar kawasan.

Kampung yang dihuni masyarakat Melayu dan Iban ini mempunyai penduduk lebih 800 orang dan tersangat mengharapkan kewujudan jalan darat untuk bergerak ke luar kawasan.

Permohonan bagi membina jalan darat ke kampung itu sudah dimajukan kepada pihak berwajib dan wakil rakyat sebelum ini dan keputusannya masih ditunggu penduduk dengan penuh harapan.

Ketua Kampung(KK), Kipli dan KK Azman memberitahu antara usaha mempromosi kemungkinan pembinaan jalan darat di situ penduduk turut telah menganjurkan ekspedisi berjalan kaki melalui laluan tersebut sebelum ini.

Justeru mereka berharap pihak kerajaan akan memandang serius harapan mereka dan menjadikan impian terbinanya jalan darat di situ menjadi kenyataan menjelang 2020. – Sarawakvoice