SANTUBONG: Kerana tidak mengendahkan amaran, dua pekerja kilang rakyat Indonesia dikhuatiri lemas, dipercayai dibawa arus di Pantai Damai, berhampiran Damai Sentral dekat sini.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, pihaknya menerima laporan sekitar jam 12:17 tengah hari tadi dan sebuah jentera bersama-sama ambulans EMRS dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi, dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya.

“Berdasarkan maklumat awal, empat individu termasuk mangsa dipercayai mandi di kawasan berbatu biarpun ketika ombak besar dan amaran bendera merah telah dinaikkan.”Mereka mandi di luar  pengetahuan pengawal pantai menyebabkan dua daripada mereka dipercayai ditarik arus ombak manakala dua lagi sempat diselamatkan rakan mangsa.

Ketika ini kata Farhan, identiti mangsa dikenal pasti sebagai Usman Suharna, 20 tahun dan Rusmana, 44 tahun.

Proses mencari dan menyelamat (SAR) katanya, masih diteruskan menggunakan kaedah pencarian permukaan laut.

Lokasi yang sama turut menyebabkan dua pelajar maahad hilang, sebelum dijumpai lemas sebelum ini.

Ketika ini, laut bergelora akibat tiupan angin monsun. – Sarawakvoice