Saidol: Banyak sekolah seusia Muzium S’wak perlu pembaikan atau bina sekolah baru

KUCHING: Banyak sekolah di Sarawak sama usia dengan Muzium Sarawak, memerlukan penambahbaikan.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak, Abdullah Saidol berkata, bahkan para pelajar di luar bandar negeri ini berhak mendapat sekolah baru, justeru peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk sektor pendidikan negeri perlu ditambah.

Saidol berkata, BNBBC Sarawak sering mengutarakan situasi sekolah di kawasan mereka untuk perhatian Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Kita tidak mahu menunggu sehingga 2050, sebaliknya tunaikan dahulu Wawasan 2020 kerana kita cuma ada tiga tahun sahaja lagi.

“Ini bukan retorik politik, tetapi denyut nadi rakyat Sarawak,” kata Saidol yang dipetik daripada laporan akhbar Utusan Sarawak.

“Apabila kita mendengar pembentang bajet Persekutuan, bunyinya jumlah peruntukan untuk sekolah di Sarawak besar sekali, kita tidak mahu perkara seperti yang berlaku sebelum ini berulang lagi,” ujar beliau.

Bercakap selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Pendidikan Sarawak di Kuching pada Khamis Saidol berkata, “kita mahu, Sarawak bukan sahaja diberi surat punca kuasa, malah memohon autonomi pendidikan terus diberikan kepada JPN Sarawak, bukan lagi Persekutuan,” kata beliau lagi.

Abdullah yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri menambah, dengan adanya kuasa autonomi pendidikan tersebut, ia memudahkan JPN Sarawak dalam pengurusan guru, prasarana pendidikan negeri dan sebagainya.

Saidol turut menegaskan beliau tidak berkenan dengan cara Kerajaan Persekutuan memantau bidang pendidikan di negeri ini menggunakan “alat kawalan jauh”.

Saidol mendakwa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sering meminggirkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak seperti dalam isu pelantikan kontraktor mengendalikan genset sekolah di seluruh negeri ini.

Menurut Saidol, JPN Sarawak tidak menyimpan salinan dokumen perjanjian antara kontraktor berkenaan dengan KPM.

Justeru, apabila isu timbul, JPN Sarawak menjadi pihak pertama yang dicari bagi mendapatkan penjelasan atau penyelesaian. – Sarawakvoice