KUCHING: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dalam Perutusan Tahun Baharu Cina pada Khamis memuji kepintaran, visi serta semangat masyarakat Cina berniaga sehingga dapat menyediakan ribuan peluang kerja kepada rakyat.

Selain itu, kejayaan ekonomi peniaga Cina menjana pendapatan kepada negeri menerusi pelbagai cukai.

Menurut Abang Johari, masyarakat Cina sentiasa penting dalam sebahagian politik dan ekonomi Sarawak.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana sedia bekerjasama dengan masyarakat lain dalam perkongsian kuasa kerajaan.

Abang Johari menambah, “saya mahu berikan jaminan kerajaan terus mengguna pakai dasar yang mesra masyarakat perniagaan dan pelabur seperti yang telah digariskan oleh ketua menteri sebelum saya.”

Beliau menegaskan, Sarawak merupakan tempat setiap kaum bebas mengamalkan kebudayaan, adat resam dan agama masing-masing.

Rakyat Sarawak meraikan dan membina kekuatan bersama-sama menerusi persamaan dan perbezaan yang ada.

Berkaitan pemergian Allahyarham Tan Sri Adenan Satem pada 11 Januari lepas, Abang Johari menyifatkan ia sebagai kehilangan besar kepada Sarawak dan negara.

“Sebagai pemimpin hebat, beliau meninggalkan legasi yang amat dibanggakan oleh rakyat Sarawak, yang telah menyediakan hala tuju untuk kita ikuti untuk tahun-tahun mendatang,” ujar Abang Johari.

Abang Johari memberi jaminan meneruskan pendekatan membabitkan pelbagai kaum serta dasar yang telah digariskan Adenan sebelum ini. – Sarawakvoice