Tembikai ganja RM2.6 juta dirampas

PHARR: Pihak berkuasa Migrasi dan Sempadan Amerika Syarikat berjaya menggagalkan penyeludupan 1.5 tan ganja yang disamarkan dalam bentuk buah tembikai.

Ganja tersebut disembunyikan di dalam kargo penghantaran buah-buahan komersial.

Rampasan 17 Januari di Kota Pharr, Texas itu dilakukan selepas pasukan petugas sempadan menyelongkar sebuah trak kontena menggunakan bantuan anjing pengesan.

Russia Today pada Isnin melaporkan anjing pengesan berjaya mengesan dadah berkenaan.

Selepas diselongkar, petugas menemui  390 bungkusan ganja yang tersembuyi dalam objek berbentuk tembikai yang disembunyikan di bawah buah tembikai asli.

Nilai rampasan ganja tersebut ditaksirkan sekitar AS$600,000 (RM2.6 juta).

Pengarah Bandar Hidalgo/ Pharr/ Anzalduas, Efrain Solis Jr. Berkata, penyeludup semakin kreatif ketika mereka menyeludup dadah ke AS.

Petugas sempadan memiliki pengalaman serta sikap waspada yang tinggi mencegah kemasukan dadah berbahaya, ujar Solis. – Sarawakvoice