Friday, September 30, 2022

Pencarian dasar laut MH370 ditangguh, tetap tidak dilupakan — Liow Tiong Lai

Secara Rawak

PERTH, Australia: “Ia keputusan yang amat sukar. Ia bukan sesuatu yang diambil ringan tanpa kesedihan. Namun ia langkah yang terpaksa diambil.

“Walau dengan kajian saintifik mahupun bantuan teknologi, kita masih gagal menemui maklumat dan petunjuk baharu untuk menentukan lokasi tertentu pesawat MH370.”

Itu kenyataan sedih yang dirakamkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai susulan penggantungan operasi pencarian pesawat itu di dasar laut secara rasmi semalam.

Liow mengakui bahawa ini adalah masa yang sangat sukar bagi keluarga dan orang tersayang dalam kalangan 227 penumpang dan 12 anak kapal pesawat itu.

Liow Tiong Lai01

“Saya ingin menegaskan bahawa aspirasi untuk mencari MH370 tidak ditinggalkan begitu sahaja, sebaliknya pasukan pakar-pakar yang diketuai oleh ATSB akan terus menganalisis data komprehensif yang dikutip di sepanjang usaha pencarian.

Dengan penggantungan pencarian dalam air, katanya, pasukan respons yang diketuai oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia akan ditubuhkan untuk mengendalikan semua perkara yang berkaitan dengan MH370.

“Ini termasuk maklumat dan serpihan yang didapati dalam masa terdekat dengan komitmen berterusan daripada Kerajaan Australia, China dan Malaysia,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau bersama-sama Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia, Darren Chester dan Ketua Pengarah, Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim China, Zhi Guanglu berada di Kompleks Marin Australia, Port Henderson untuk menyambut ketibaan kapal Fugro Equator semalam.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya melahirkan penghargaan tidak terhingga kepada anak-anak kapal Fugro Equator untuk komitmen yang tidak berbelah- bahagi dalam usaha pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan ini.

Liow Tiong Lai00

“Ia sudah pasti satu tugas yang sangat mencabar bagi anak-anak kapal yang terlibat dalam operasi mencari sejak kita memulakan pencarian MH370 di dalam air pada bulan Jun 2014.

Katanya, komitmen, profesionalisme dan dedikasi mereka ke arah operasi mencari dengan harapan untuk mencari petunjuk kepada keluarga dan orang tersayang yang berada di atas kapal MH370 benar-benar membanggakan.

“Pencarian MH370 dalam pelbagai cara telah benar-benar menguji batas manusia.

“Ini termasuk perjalanan ke lokasi yang jauh; dengan laut yang buruk dan keadaan cuaca dengan ombak sehingga mencapai ketinggian antara 15 hingga 20 meter.

Oleh itu, katanya ia telah benar-benar menjadi cabaran kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang mana Kerajaan Malaysia, Australia dan Republik Rakyat China benar-benar terhutang budi.

“Adalah penting untuk diberikan perhatian bahawa semua keputusan yang berkaitan dengan MH370 telah dan akan sentiasa dalam semangat kerjasama tiga pihak.

“Ingatan dan doa kami terus bersama keluarga dan orang yang tersayang penumpang dan anak kapal MH370,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru