4 anggota militan Daesh termasuk seorang gadis dicekup di Sabah dan Kuala Lumpur

0
26

KUALA LUMPUR: Bahagian Counter Terrorism Cawanagan Khas PDRM telah melancarkan operasi khas pada 13 hingga 19 Januari lalu, dengan melakukan serbuan dan tangkapan di sekitar Sabah dan Kuala Lumpur.

Hasil operasi tersebut, mereka telah berjaya menahan empat suspek, dengan tiga daripadanya lelaki warga asing manakala seorang lagi wanita tempatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek pertama merupakan seorang warga Filipina berusia 31 tahun, yang bertugas sebagai penjual jam di Kota Kinabalu.

“Suspek yang ditangkap pada 13 Januari lalu dipercayai anggota sel pengganas Daesh di bawah pimpinan Dr Mahmud Ahmad,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Mahmud merupakan mantan pensyarah di Universiti Malaya yang kemudian memyertai kumpulan pengganas Daesh di Selatan Filipina.

Khalid berkata, suspek telah berbai’ah kepada Dr Mahmud dan diarahkan untuk merekrut dan mengatur penyusupan masuk anggota-anggota baharu dari Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan etnik Rohingya ke Marawi City, Mindanao bagiq menyertai kumpulan pengganas Daesh.

“Suspek kedua ditangkap bersama-sama suspek pertama di Kota Kinabalu.

“Dia merupakan wanita tempatan yang ditangkap bersama-sama suspek pertama.

Suspek ini kata Khalid, merupakan seorang penganggur yang berasal dari Selangor, dan direkrut sejak awal Januari lalu, melalui media sosial.

“Suspek berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 13 Januari lalu untuk bertemu suspek pertama di Kota Kinabalu.

“Kedua-dua mereka merancang untuk berlepas ke Sandakan sebelum menyusup ke selatan Filipina dan merancang untuk berkahwin di sana,” kata Khalid.

Pada 19 Januari katanya lagi, dua lagi suspek ditahan di Kuala Lumpur, dalam operasi susulan selepas kejayaan menahan suspek pertama.

“Kedua-duanya merupakan warganegara Bangladesh yang bekerja sebagai jurujual.

“Mereka direkrut suspek pertama dan merancang untuk menyertai kumpulan pengganas Daesh pimpinan Dr Mahmud.

“Kedua-duanya disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Daesh yang beroperasi di Bangladesh,” katanya lagi.

Menurut Khalid, berdasarkan soal siasat, pihaknya mendapati sel yang diketuai oleh Dr Mahmud kini telah berkembang dan bergabung dengan kumpulan Abu Sayyaf pimpinan Isnilon Hapilon, yang turut berbai’ah kepada Abu Bakar Al-Baghdadi.

“Siasatan turut mendapati dua rakyat Sabah iaitu Amin Bacho yang menjadi anggota Darul Islam Sabah dan Joraimee Awang turut menyertai mereka dan kini beroperasi di Marawi City.

Yang jelas kata Khalid, kejayaan Cawangan Khas PDRM ini telah melumpuhkan satu sel baharu dalam rangkaian keganasan Daesh, yang menjadikan Sabah sebagai transit untuk anggotanya dari Asia Tenggara dan Asia Selatan menyusup masuk ke Selatan Filipina.

“Kesemua suspek yang ditangkap disiasat di bawah kesalahan Bab VIA – Kesalahan-kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).” – Sarawakvoice