Friday, September 30, 2022

Warga emas cuai masuk simpang, maut dirempuh Hilux di Tatau

Secara Rawak

TATAU: Gagal berhenti sebelum masuk simpang menjadi punca seorang warga emas maut, selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah pacuan empat roda di Jalan Tatau-Sibu dekat sini malam tadi.

Pemangku Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Asisten Superintendan Mathew Manggie memberitahu, insiden berlaku sekitar jam 9.25 malam di Kilometer 2, Simpang Sangan, Jalan Tatau-Sibu.

“Mangsa yang menunggang Honda Wave dikatakan secara mengejut memasuki simpang sebelah kiri jalan dan gagal melihat kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dalam perjalanan dari Bintulu ke Sibu.

“Akibat kecuaian tersebut, rempuhan berlaku dan mangsa yang parah, maut di lokasi kejadian.

Kematian mangsa yang dikenal pasti kemudiannya sebagai Nimon Chun, 67 tahun dari Sungai Empulak Jelai dekat sini disahkan oleh pasukan paramedik dari Klinik Kesihatan Tatau.

Siasatan awal kata Mathew, tidak menolak faktor kecuaian memandangkan keadaan jalan yang lurus, mempunyai simpang dan diterangi lampu jalan.

“Cuaca semasa kejadian adalah baik.”

Punca kemalangan katanya masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru