Perkeso bayar RM2.95 bilion kepada penerima faedah

KUALA TERENGGANU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membelanjakan sejumlah RM2.95 bilion untuk pembayaran kepada 506,909 penerima faedah Perkeso yang layak sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, sepanjang tempoh itu juga Perkeso mencatatkan lebih 400,000 majikan yang aktif membuat caruman melibatkan 6.4 juta pekerja yang telah berdaftar dengan Perkeso.

“Bagi negeri Terengganu, sejumlah 106,689 pekerja daripada 8,254 majikan aktif telah direkodkan dan daripada jumlah itu 1,300 orang menerima faedah sehingga Oktober tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada malam penghargaan Perkeso bersama Media 2017 yang dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Aziz Mohammed dan Pengarah Perkeso Terengganu Nora Yaacob.