Monday, November 28, 2022

Pemandu lori sejuk beku syarikat ayam segar terkulai, lori bertembung treler di Betong

Secara Rawak

BETONG: Seorang pemandu lori syarikat pembekal ayam segar maut selepas kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler milik Salcra di Kilometer 83, Jalan Betong-Sarikei dekat sini.

Pemangku Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Asisten Superintendan Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.30 malam tadi tidak jauh dari Jambatan Sungai Rimbas.

“Lori sejuk beku itu dipercayai sedang dalam perjalanan ke Sarikei dari Kuching, untuk menghantar stok bekalan ayam segar.

“Bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian, lori yang dipandu mangsa telah memasuki laluan bertentangan, menyebabkan treler yang dalam perjalanan dari Bintulu ke Kuching gagal mengelakkan pertembungan.

Impak kejadian menyebabkan mangsa maut serta-merta, dengan separuh badan mangsa terkulai dari kepala lori yang remuk.

Malah bekalan ayam yang dibawa mangsa bersepah di tengah jalan.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.37 malam dan sebuah jentera dan ambulans EMRS dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong.

“Tiba di lokasi 34 minit kemudian, pasukan mendapati mangsa yang maut tersepit di kepala kenderaan.

“Seorang lagi mangsa iaitu kelindan lori berkenaan turut cedera, namun dapat dikeluarkan sebelum dikejarkan ke Klinik Debak oleh pasukan paramedik klinik berkenaan.

Menurut Farhan lagi, pihaknya mengambil masa lebih dua jam untuk mengeluarkan mangsa, menggunakan hydraulic rescue tools.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Mathew memberitahu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai
Vincent Wira, 47 tahun dari Kampung Bobak, Singai, Bau.

Pemandu treler Salcra bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru