Saturday, October 8, 2022

Mawan tak keruan, Basil makin ligat di Saratok

Secara Rawak

KABONG: Basil Thomas, 46 tahun, dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) kini makin ligat meneruskan gerakan bersepadu dalam usahanya untuk mendapat tempat sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen P.205 Saratok.

Sasaran gerakan Basil kini lubuk kuat BN iaitu di sekitar Daerah Kabong yang majoriti pengundinya adalah masyarakat Melayu.

Basil yang bergerak dengan disertai beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) Parti SPDP petang kelmarin berjumpa dengan wakil penduduk di sini bertempat di Pusat Santai Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang lalu kerusi berkenaan dimenangi oleh Tan Sri William Mawan Ikom yang mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ali Biju .

Kerusi berkenaan pada masa kini menimbulkan spekulasi yang pelbagai berikutan kegagalan Parti Tenaga Rakyat (TERAS) yang diterajui oleh Mawan tidak diterima sebagai parti komponen BN dan ia menyukarkan presidennya untuk terus bertanding atas tiket Teras.

Mawan dalam PRU yang lalu memenangi kerusi berkenaan ketika menjadi Presiden SPDP yang kemudiannya keluar dari parti itu dan membentuk TERAS.

Melihatkan kepada kegoyahan yang berlaku itu, beberapa nama berpotensi mula menonjolkan minat untuk menggantikan Mawan biarpun belum ada keputusan hitam putih yang menyatakan Mawan tidak diberikan peluang mempertahankan kerusi yang sedang disandangnya kini.

Basil merupakan seorang usahawan yang mengendalikan syarikat berkaitan minyak dan gas yang beribu pejabat di Miri. Beliau berasal dari Kabo Awik Krian, Saratok dan merupakan lulusan daripada universiti luar negara.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 yang lalu Basil hampir menjadi calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Krian yang lalu.

Namun atas sebab-sebab tertentu nama beliau tidak tercalon dan digantikan dengan Kilat Briak. Namun Kilat tewas kepada calon PKR, Ali Biju dalam pilihan raya berkenaan.

Selain Basil, turut dikaitkan dengan kerusi panas P.205 Saratok ialah Subeng Mula, Dr. James Cella, Dr. Mohd Shafiq Abdullah dan Kilat Briak.

Program yang dijalankan Basil kelmarin merupakan yang kelima seumpamnya di kawasan Daerah Kabong.

Basil yang berpewatakan sederhana dan muda serta fasih bertutur bahasa Melayu dan merupakan anak jati Saratok menjadi faktor penguat untuk membuat Mawan gelisah biarpun tarikh PRU Ke-14 masih belum diumumkan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru