Abg Jo yakin Najib bantu teruskan legasi Adenan tuntut hak S’wak

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pemimpin yang responsif dan pendengar yang baik.

Menyifatkan hal tersebut sebagai positif, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yakin Najib sedia memberi perhatian wajar terhadap sebarang rundingan seterusnya berkaitan kepentingan Sarawak.

Abang Johari mengadakan kunjungan hormat di Putrajaya pada Jumaat, pertama kali selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam untuk meneruskan legasi Allahyarham Tan Sri Adenan Satem membangun dan membela hak Sarawak.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 13 Januari menggantikan Allahyarham Adenan yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung, 11 Januari lepas.

Abang Johari dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako pada Sabtu, mengakui selama ini, Najib merupakan perdana menteri paling banyak membantu pembangunan Sarawak.

“Saya nyatakan (kepada Najib) bahawa saya akan teruskan dengan apa yang telah diusahakan oleh Tok Nan,” ujar beliau. – Sarawakvoice