Tidak ada sebab Umno dibenarkan ke Sarawak

Ketua Menteri  Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semalam membuat kenyataan yang  barangkali menyentak mereka yang selama ini meragui pendirian beliau tentang kemasukan Umno ke Sarawak.

Abang Johari  pernah dituduh dan difitnah bahawa jika menjadi Ketua Menteri,  beliau akan membawa parti tulang belakang BN yang berpangkalan di Semenanjung ke Sarawak.

Semalam, Abang Johari menegaskan, selagi beliau menjadi Ketua Menteri, selagi itu, Umno tidak akan dibenarkan untuk dibawa masuk ke Sarawak.

Memang aneh, bagaimana berita dan persepsi sedemikian dibina musuh dalam politik, sedangkan, banyak kali pemimpin PBB dan pemimpin Umno, sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad hinggalah Perdana Menteri sekarang, menyatakan pendirian, bahawa Umno tidak akan dibawa ke Sarawak.

Dan, pemimpin PBB, tidak akan membenarkannya bertapak di negeri ini.

Kenyataan Abang Johari pasti dapat menepis segala tuduhan yang dilemparkan kepada beliau, termasuk mereka yang jelas berniat jahat.

Tidak ada sebab ketua menteri keenam itu untuk membenarkan Umno bertapak di Sarawak ketika beliau sendiri sedar bahawa rakyat tidak menyenangi kehadiran parti itu di negeri ini.

Hanya Sarawak tidak mempunyai cawangan Umno, dengan Sabah merupakan negeri terakhir ia bertapak.

Kemasukan Umno ke Sabah kerana keperluan politik untuk menyingkirkan Parti Bersatu Sabah  (PBS) pimpinan Pairin Kitingan pada awal 1990-an, adalah kerana kepemimpinan politik di Sabah lemah.

Isu Umno ke Sarawak ini sudah hampir menjadi basi, malah tidak perlu diperkatakan.

Tetapi kita tidak akan terkejut, jika isu ini dibangkitkan semula pada masa depan.

Sebab, sebarang kecenderungan membenarkan Umno masuk, boleh jejaskan reputasi dan seterusnya undi.

Malah, seingat saya sudah ada persefahaman dan perjanjian sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad lagi.

Dalam Sidang Dewan Undangan Negeri hujung  November 2013,  Chong Chien Jen bertindak  mengusik Abang Johari sebagai pro-Umno dalam percubaan untuk memusnahkan imej dan reputasi calon Ketua Menteri itu yang hangat disebut-sebut pengganti Taib, selain Adenan dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Tan Sri Adenan Satem ketika itu sebagai menteri tugas-tugas khas mempertahankan Abang Johari dan membuat usul agar Chong digantung, apabila beliau berkeras tidak mahu menarik balik dakwaan tersebut.

Mungkinkah terdapat tangan ghaib di sebalik tuduhan Chong itu bagi memastikan peluang Abang Jo, gelaran mesra Abang Johari, tertutup?

Menjelang pilihan raya  Mei lalu,  Abang Johari  pernah menafikan PBB  akan membawa  Umno ke Sarawak.

Isu kemasukan Umno ke negeri ini dianggap sensitif dan sering digunakan sebagai senjata politik oleh individu atau pihak yang mahu menjatuhkan musuh politik.

Sambil menyifatkan isu itu sebagai isu lapuk, Abang Johari berkata tindakan itu diambil pembangkang kerana terdesak untuk menarik perhatian pengundi, sekali gus memperlihatkan mereka sudah ketiadaan isu untuk dibangkitkan sehigga terpaksa memanaskan semula isu lama yang sudah basi.

“Sejak dulu hingga sekarang, sama saja isu dibangkitkan mereka. Dulu mereka kata saya agen Umno dan mahu bawa parti itu ke Sarawak, kini Ketua Pemuda PBB pula,” katanya ketika itu.

Beliau menyifatkan ia sebagai taktik kotor pembangkang untuk mengaburkan dan mengelirukan rakyat di negeri ini menjelang pilihan raya nanti, kerana hakikatnya pembangkang menyedari tidak mungkin bagi Umno untuk bertapak di Sarawak ketika PBB sebagai parti tulang belakang BN begitu kukuh kedudukannya. – Sarawakvoice