LIMBANG: Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berharap Ketua Menteri Sarawak yang baharu Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dapat meneruskan pelaksanaan cadangan penubuhan agensi pembangunan pengangkutan awam di negeri ini.

Bercakap pada sidang media perjumpaan Bersama Ahli PBB Batu Danau di Dewan Kampung Bunga Raya pada Rabu, Hasbi berkata, cadangan menubuhkan agensi berperanan membangunkan pengangkutan awam pernah dibincang dan dipersetujui Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Hasbi yang juga Pengerusi Lembaga Pengangkutan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Negeri, berkata agensi yang bertanggungjawab terhadap pembangunan pengangkutan awam Sarawak berlandaskan budaya dan geografi perlu diwujudkan di negeri ini.

Hasbi Habibollah00

Baik agensi di bawah kerajaan negeri, kementerian, mahupun badan berkanun perlu membangun dan merancang pengangkutan awam membabitkan perjalanan ke seluruh Borneo termasuk ke Brunei, Sabah dan Kalimantan Indonesia.

Menurut Hasbi, LPKP setakat ini mempunyai peranan agak terbatas menguat kuasa pengangkutan awam yang dilesenkan oleh lembaga itu.

Justeru, agensi yang mempunyai peranan seperti Suruhanjaya Awam Darat (SPAD) yang terdapat di Semenanjung Malaysia dapat dijadikan model kepada penubuhan agensi ini yang sesuai dengan geografi Sarawak.

Dengan adanya agensi ini, ia mempunyai peranan lebih luas bukan sahaja melibatkan pelesenan, malah dapat membangun dan merancang hala tuju perjalanan seluruh Borneo.

Beliau menekankan kepentingan agensi ini kerana perhubungan pengangkutan negeri Sarawak melibatkan Brunei, Kalimantan dan Sabah ini mampu menggalak mobiliti lebih lancar, mesra dan selamat untuk Pulau Borneo ini. – Sarawakvoice