Brexit: Hubungan kukuh Malaysia-UK akan berterusan

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell memberi jaminan hubungan kukuh antara United Kingdom (UK) dan Malaysia akan berterusan meskipun keputusan yang diambil negara itu untuk keluar dari blok Kesatuan Eropah (EU).

Treadell dalam satu kenyataan hari ini berkata kedua-dua negara itu akan mempunyai peluang unik bekerjasama dalam dua Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) pada 2018 dan 2020 mengenai isu-isu termasuk perdagangan dan memerangi fahaman pelampau.

UK juga akan bekerjasama dengan Malaysia dalam isu keselamatan dan pertahanan, serta membangunkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan ke arah prospek menjalin perjanjian perdagangan bebas apabila tiba masa yang sesuai, katanya. Treadell menegaskan UK adalah sebuah negara yang berpandangan jauh dan akan membabitkan diri dengan lebih aktif di persada global memandangkan peluang itu akan terbuka sebaik sahaja negara itu keluar dari EU.

“Sejak referendum bersejarah EU pada Jun 2016, kita melihat dua lawatan diraja Britain dan tiga lawatan kementerian UK ke Malaysia. Ini bukan negara Britain yang meminggirkan diri. “Ini adalah Britain yang berpandangan ke hadapan yang membawakan hubungan kami dengan Malaysia ke tahap baharu demi kepentingan bersama kedua-dua negara kita,” katanya sempena dengan ucapan Brexit oleh Perdana Menteri Britain, Theresa May malam ini.

Treadell berkata ucapan May menguatkan lagi komitmen kerajaan Britain untuk bangkit dengan lebih kukuh daripada tempoh perubahan dan berpandangan lebih jauh berbanding sebelumnya.

“Beliau menggariskan visi di mana UK akan kekal menjadi rakan yang boleh dipercayai, sekutu dan rakan baik EU. “Justeru itu kami berazam untuk meneruskan perkongsian baharu, positif dan lebih membina dengan EU. Kami akan berbuat demikian dengan tujuan dan kejelasan,” katanya.

Dalam ucapannya May berkata, UK tidak boleh kekal sebagai ahli pasaran tunggal EU selepas meninggalkan blok itu tetapi akan mendapatkan persetujuan untuk membolehkan perdagangan bebas barangan dan perkhidmatan.