Risda S’wak terima RM41.2 juta untuk manfaat 60,000 pekebun kecil

KUCHING: Untuk mencapai visi dan misi 2017, pihak Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Sarawak menerima peruntukan pembangunan RM41.2 juta.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Dan Korporat) RISDA, Haji Mohd Ihwan Sudim berharap hampir 60,000 pekebun kecil di Sarawak mendapat manfaat pembangunan kawasan tanaman getah seterusnya meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan pekebun kecil.

Peruntukan berkenaan meliputi program tanam semula, khidmat pengembangan, prasarana, tuisyen desa dan pembangunan institusi pekebun kecil.

Berucap pada majlis berucap pada Majlis Pengoperasian Amanat Pengurusan Risda dan Perhimpunan Bulanan Risda Negeri Sarawak 2017 di Pustaka Negeri, Mohd Ihwan berkata Risda turun padang bertemu pekebun kecil dengan pelbagai inisiatif serta pendekatan yang dilaksanakan.

Mohd Ihwan berharap semua pekebun kecil Sarawak merebut peluang meningkatkan hasil menambahkan pendapatan keluarga.

Pekebun kecil perlu menggunakan segala kemudahan yang diberikan Risda seperti prasarana asas pertanian memudahkan kerja pengangkutan dan pemasaran hasil.

Pada majlis tersebut, Mohd Ihwan menyampaikan cek peruntukan program pembangunan pekebun kecil bagi Bahagian Betong bernilai RM11.6 juta, Samarahan RM13.3 juta, Sibu RM10.5 juta dan peruntukan belanja mengurus Risda Sarawak RM5.1 juta. – Sarawakvoice