Najib, Rosmah singgah sarapan di medan selera

ALOR SETAR: Walaupun sibuk dengan jadual lawatan kerja ke Kedah hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sempat meluangkan masa bersarapan dengan penduduk di Medan Selera, Alor Merah di sini pagi ini.

Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor disambut ribuan orang di medan itu yang kelihatan cukup teruja dengan kehadiran pemimpin nombor satu negara itu.

Turut hadir bersarapan bersama beliau ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan bekas menteri besar Kedah Tan Sri Osman Aroff.

Antara sajian yang dihidangkan ialah teh tarik, kopi O, ubi kayu bersama kelapa parut dan roti Arab.

Seorang peniaga, Rokshanah Ibrahim, 53, berkata dia cukup teruja dengan kehadiran perdana menteri kerana ini kali pertama dapat menatap wajah pemimpin yang disayangi itu dengan lebih dekat.

“Hampir 2 minggu kami membuat persiapan bagi menyambut kedatangan beliau dan hari ini saya menyediakan lebih 200 biji roti Arab untuk hidangan kepada mereka yang hadir hari ini,” katanya yang sudah 13 tahun menjalankan perniagaan di situ.

Najib dijadualkan menghadiri majlis meraikan komuniti Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Sungai Petani pada 11 pagi sebelum ke program bersama rakyat di Padang Awam Kuala Ketil pada 3.35 petang.