Kerajaan siapkan 115 projek Perumahan Rakyat  di seluruh negara

SEREMBAN: Kerajaan telah menyiapkan 115 projek Program Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan 81,352 unit di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata 36 projek PPR kini di peringkat pembinaan dengan jumlah unit sebanyak 16,362 dan 18 projek lagi masih dalam pelbagai peringkat perancangan yang merangkumi 5,182 unit.

“Daripada jumlah tersebut, kerajaan persekutuan telah menyiapkan dua projek PPR di Negeri Sembilan yang meliputi 570 unit rumah. Dua projek PPR itu ialah PPR Senawang melibatkan 420 unit rumah yang telah siap pada 2006 dan PPR Ladang Siliau (150 unit rumah) yang telah siap 2013,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis perasmian permulaan kerja PPR Rantau oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dekat sini, pada Isnin.

Katanya, selain itu, tiga projek sedang dilaksanakan iaitu PPR Rantau, Seremban (100 unit rumah teres 1 tingkat) dijangka siap 2018, PPR Ladang Tanah Merah, Port Dickson (100 unit rumah teres satu tingkat) dijangka siap 2017 dan PPR Rembau (452 unit rumah teres satu tingkat) yang dijangka siap pada 2018.

“Kementerian saya telah diberi tanggungjawab oleh kerajaan pusat dalam membantu merealisasikan hasrat kerajaan menyediakan satu juta unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun (2013-2017) dengan penglibatan pelbagai agensi lain seperti Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), Kerajaan Negeri dan pemaju swasta.

“Melalui program seperti PPR dan Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome), kementerian akan terus merancang dan melaksanakan hasrat kerajaan dalam meningkatkan penawaran rumah mampu milik di pasaran negara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sehingga kini, KPKT telah berjaya menyiapkan, membina dan merancang 50,156 unit rumah atau 82.5 peratus daripada sasaran 60,789 unit rumah untuk disiapkan menjelang tahun 2018.

“Baki 10,633 unit rumah atau 17.5 peratus lagi, kementerian akan teruskan pada tahun ini bagi memastikan rakyat berkelayakan dapat memiliki rumah yang diidamkan,” katanya.

Mengenai projek PPR Rantau, beliau berkata ia akan dibangunkan di atas tapak seluas 6.1 hektar dengan kos pembinaan RM15.9 juta.

Halimah berkata projek ini terdiri daripada 100 unit rumah teres satu tingkat dengan keluasan 700 kaki persegi termasuk tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan ruang dapur.

“Projek ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti surau, tapak gerai, tadika, pusat komuniti dan gelanggang futsal bagi kemudahan penduduk.