BINTULU: Ghaib sekelip mata. Itu yang terjadi pada seorang lelaki apabila ditarik arus deras ketika sedang mandi-manda di Pantai Tanjung Batu dekat sini semalam.

Dalam kejadian sekitar 6.10 petang itu, mangsa dan beberapa rakan sedang mandi laut.

Mangsa yang tidak pandai berenang mandi di kawasan berbatu tidak jauh dari pinggir pantai.

tarik ombak02

Dalam keseronokan itu, ombak besar tiba-tiba membadai seraya menarik mangsa ke tengah laut.

Rakan-rakannya yang panik cuba membantu, namun ombak kuat dan arus deras menyebabkan kelibat mangsa terus hilang.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Di Hatta Gobel, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.14 petang dan sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS dikejarkan ke lokasi untuk mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Disebabkan ombak yang berbahaya, pasukan SAR semalam melakukan pemantauan di sekitar bibir pantai.

“Sehingga petang semalam, mangsa masih dilaporkan hilang dan gagal ditemui,” katanya lagi.

Mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Law Boung Shi, 24 tahun, dari Sibu. – Sarawakvoice
tarik ombak01 tarik ombak00