Adaptasi perubahan bidang pendidikan untuk kegemilangan negara pada masa depan – PM Najib

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua pihak di negara ini agar turut sama memainkan peranan mengadaptasi perubahan dalam bidang pendidikan dan tidak meletakkan sepenuhnya tanggungjawab itu kepada kerajaan.

Beliau berkata semua pihak perlu peka dengan perubahan dalam dunia pendidikan kerana hanya ilmu dan pengetahuan menjadi teras kepada kejayaan diri, bangsa, negara serta menjamin kegemilangan sesebuah tamadun.

“Kalau sesebuah tamadun itu bergantung kepada ketenteraan, ia tidak boleh bertahan lama. Tetapi, jika tamadun itu terasnya adalah kepada ilmu dan pendidikan, maka tamadun itu akan bertahan jauh lebih lama.

“Dan sebab itu, jika kita ada cita-cita dan impian teragung untuk bangsa dan anak-anak kita pada masa depan, kita mesti terjemahkan impian itu dalam bentuk komitmen dalam bidang pendidikan,” katanya ketika berupcap pada majlis penyampaian hadiah kecemerlangan pelajaran serta bantuan ‘Kembali Ke Sekolah’ Parlimen Pekan di sini hari ini.

Najib berkata konsep pendidikan masa kini juga sudah berubah dan titik permulaan pendidikan bermula lebih awal daripada permulaan memasuki sekolah, malah boleh dikatakan bermula dari rahim ibu, yang mana ibu bapa mula memastikan kandungan mereka mendapat zat terbaik bagi merangsang pertumbuhan minda.

Perdana Menteri juga menegaskan kepentingan untuk melihat dan sentiasa mengikuti perubahan dan perkembangan bidang pendidikan pada masa depan termasuk berfikir di luar kebiasaan berhubung peluang pekerjaan baharu yang tiada pada masa kini.

“Satu pekerjaan yang dilihat relevan dan ada permintaan pasaran pada masa kini, pada masa akan datang mungkin tidak ada atau mungkin kurang. Sejauh manakah kita boleh menyediakan generasi hari ini untuk pekerjaan yang belum wujud?

“Seperti pekerjaan sebagai saintis data atau analisis data kerana bidang seperti itu adalah dunia baharu… dunia digital yang akan menjadi dimensi baharu kita,” katanya.

Najib berkata masyarakat juga perlu mempunyai kemahuan untuk terus mengejar kejayaan sehingga ke peringkat yang paling tinggi, mengambil contoh menjadi seorang pakar perubatan dan bukan lagi berpuas hati selepas berjaya menjadi doktor.

“Jika dahulu pada zaman pasca merdeka, ia mungkin mencukupi, tetapi sekarang ini kita sudah ada lebih 20 institusi pengajian tinggi awam dan beratus-ratus institusi pendidikan swasta. Pendidikan pada masa kini, (jika) mempunyai ijazah kelas pertama tidak memadai,” katanya.

Najib yang juga anggota Parlimen Pekan juga melahirkan rasa bangga dengan pencapaian daerah itu yang boleh disifatkan sebagai ‘lembah pendidikan’ dengan penubuhan pusat pendidikan di daerah itu seperti Universiti Malaysia Pahang dan Kolej Automotif Antarabangsa (ICAM) DRB-HICOM.

Pada majlis itu, seramai 146 pelajar cemerlang UPSR menerima wang tunai RM200 dan 61 pelajar cemerlang Pentaksiran Tingkat 3 (PT3) menerima RM250 serta sijil penghargaan selaku Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Pahang (YP).

Lima buah sekolah kategori luar bandar pula menerima Anugerah Khas Sekolah Menengah PT3 2016 yang membawa pulang wang tunai RM2,000 antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ubai, SMK Nenasi, SMK Dato’ Mahmud Mat dan SMK Seri Mahkota.

Pada majlis sama, rakan strategik YP, Asia Foundation melalui pemegang amanahnya International Institute of Public Policy and Management turut menyerahkan 6,000 buku berharga RM1.2 juta kepada 74 sekolah di Pekan. Bernama