Mawan bakal dicabar di Parlimen Saratok

0
6

KABONG: Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 kini mula terasa bahangnya apabila beberapa nama kini mula disebut sebagai antara calon berpotensi untuk menjadi calon di kawasan P.205 Saratok.

Pada masa kini, penyandang kerusi kawasan berkenaan ialah Tan Sri William Mawan Ikom yang memenanginya pada PRU Ke-13 lalu mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ali Biju.

Salah seorang individu yang kini giat bergerak memperomosi diri kepada penduduk di sekitar kawasan itu ialah Basil Thomas berusia 46 tahun.

Basil merupakan seorang usahawan yang mengendalikan syarikat berkaitan minyak dan gas yang beribu pejabat di Miri. Beliau berasal dari Kabo Awik Krian, Saratok dan merupakan lulusan daripada universiti luar negara.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 yang lalu Basil merupakan antara nama yang telah begitu hampir untuk menjadi calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Krian yang lalu.

Namun atas sebab-sebab tertentu nama beliau tidak tercalon dan digantikan dengan Kilat Briak. Namun Kilat tewas kepada calon PKR, Ali Biju dalam pilihan raya berkenaan.

Berdasarkan maklumat daripada sumber terdekat Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), selain Basil, turut dikaitkan dengan kerusi panas P.205 Saratok ialah Subeng Mula, Dr. James Cella, Dr. Mohd Shafiq Abdullah dan Kilat Briak.

Hari ini, Basil Thomas mengadakan perjumpaan dengan penduduk setempat di Dewan Masyarakat Kampung Nyabor. Program berkenaan merupakan yang ke empat seumpamnya dijalankan di kawasan Daerah Kabong.

Pengrusi SPDP N.40 Kabong, Rabaiee Sulai yang ditemui memberitahu program serupa akan diadakan di pekan Kabong dalam masa terdekat.

Menurut Rabaiee, program berkenaan akan dijalankan secara berterusan dan berperingkat dan menyeluruh bagi kawasan Daerah Kabong.

“Basil merupakan seorang yang berpotensi dan layak menjadi calon. Kita mahu pihak kepimpinan atasan parti akan mengangkat namanya sebagai calon dalam PRU Ke-14 kelak.

“Jika beliau terpilih kami sememangnya akan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau dan akan membantu memastikan Barisan Nasional (BN) menang besar,” ujarnya.

Basil yang sudah berumahtangga dan mempunyai empat cahaya mata adalah merupakan anak bongsu dalam keluarga yang merupakan anak jati Saratok.

Beliau yang juga merupakan ahli SPDP turut dikatakan mendapat lampu hijau daripada Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang juga merupakan Presiden SPDP untuk mempersiapkan diri sebagai calon pada kali ini. – Sarawakvoice