Empat individu dari Sarawak terlibat Daesh, pemantauan berterusan di seluruh negeri – Pengarah Cawangan Khas

0
4

KUCHING: Empat individu, masing-masing dari Kuching, Samarahan dan Serian berjaya dicekup pasukan Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman susulan penglibatan mereka dengan Daesh.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Dato Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, keempat-empat mereka itu merupakan sebahagian daripada 122 individu yang ditangkap berkait militan tersebut sepanjang tahun lalu.

“Mereka ditangkap di beberapa lokasi di Semenanjung dalam operasi berasingan.

“Siasatan mendapati mereka tidak mempunyai hubungan antara satu sama lain,” katanya pada sidang media selepas mrnyempurnakan majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Skuad 1&2 2016 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching dekat sini.

Bagaimanapun katanya, tiada tangkapan berkait militan itu ataupun melibatkan elemen keganasan lain di negeri ini sejak 2013.

“Pun begitu, pasukan keselamatan di negeri ini tidak boleh leka.

“Pemantauan berterusan adalah perlu untuk mengelakkan insiden tidak diingini seperti di luar negara berlaku,” tegasnya.

Kata Fuzi lagi, sejak Februari 2013, seramai 264 individu telah ditangkap berhubung aktiviti militan ini termasuk warga asing dan polis akan meneruskan operasi di seluruh negara bagi menjejak mereka.

“Malah menjelang sambutan Tahun Baharu Cina ini, kita akan terus meningkatkan pemantauan.

“Kita berdoa agar tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku berkaitan kumpulan ini,” katanya. – Sarawakvoice