ALOR SETAR: Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat tidak mahu mengaku salah walaupun telah mengubah pendiriannya mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sebelum ini dilabel oleh beliau sendiri sebagai satu bentuk rasuah dan haram.

Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Othman Aziz berkata, ini kerana kenyataan Dr Mahathir yang mahu mengekalkan BR1M sekiranya parti campuran pembangkang memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang, jelas menunjukkan BR1M memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita sangat sedih apabila Tun M sebelum ini mempolemikkan BR1M sehingga menimbulkan kekeliruan kepada rakyat,” katanya selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Kedah di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Dr Mahathir dilapor mengeluarkan kenyataan itu pada Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam.

Othman berkata, BR1M sebenarnya bukanlah satu bentuk rasuah sebaliknya bantuan yang diberikan kepada rakyat yang memerlukan, sama seperti duit ihsan yang diberi Felda kepada peneroka dan Bantuan Awal Persekolahan yang diberikan Kementerian Pendidikan kepada ibu bapa.

Justeru, beliau turut menasihati penerima BR1M supaya bijak menggunakan bantuan yang diterima dengan melaburkannya pada agensi yang bersesuaian agar mendapat pulangan lain, selain tidak boros berbelanja. Bernama