KUCHING: Pengarah Maritim Malaysia Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit semalam menafikan dakwaan bahawa mereka menurunkan bendera Jalur Gemilang yang telah dipasang oleh seorang warga Australia Hans Berekoven di Beting Patinggi Ali pada 31 Ogos 2013.

Menurutnya, isu yang tular di laman sosial ekoran penerbitan Australian Broadcasting Corporation itu merupakan tuduhan tidak berasas kepada agensi tersebut.

“Agensi ini tidak pernah menerima laporan rasmi mengenai insiden berkenaan, malah pesawat udara Maritim jenis Bombadier yang dikatakan terbang rendah di lokasi bendera dipacakkan juga tidak benar.

beting01

“Setiap pergerakan dan pemerhatian rondaan oleh aset-aset Maritim Malaysia di Beting Patinggi Ali telah direkodkan, untuk dilaporkan kepada pengurusan tertinggi Maritim Malaysia dan tidak mungkin insiden ini diabaikan jika benar ia berlaku ketika rondaan.

Kata Ismaili, dakwaan bahawa agensi tersebut telah “mencabut” bendera Malaysia atas arahan Putrajaya juga adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku.

“Tiada sebarang arahan yang pernah diterima oleh Maritim Malaysia untuk melaksanakan apa-apa tugasan mencabut bendera di Beting Patinggi Ali sepanjang operasi pemantauan pada tahun 2013.

Tegasnya, Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia telah melakukan pemantauan terhadap kapal pengawal pantai China sejak Mac 2013 dan rondaan di kawasan beting itu kerap kali diadakan untuk tujuan tersebut.

Sepanjang tempoh tersebut katanya, tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku di perairan tersebut dan pihak Maritim Malaysia telah sedaya upaya untuk memastikan keadaan di Beting Patinggi Ali selamat untuk para nelayan dan komuniti maritim. – Sarawakvoice