Meningkat, rizab BNM naik RM424.2 bilion, eksport M’sia RM72.83 bilion

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUALA LUMPUR: Menurut kenyataan BNM pada Jumaat, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM424.2 bilion (AS$94.6 bilion) setakat 30 Disember 2016.

Jumlah ini meningkat berbanding RM409.1 bilion (AS$95.3 bilion) untuk tempoh sama 2015.

Kenyataan itu yang disiarkan Bernama, melaporkan rizab tersebut mencukupi untuk memudahkan urus niaga antarabangsa dan ia memadai untuk membiayai 8.8 bulan import tertangguh berbanding 8.2 bulan bagi rizab setakat 15 Disember 2016.

Paras rizab itu juga mencukupi bagi memenuhi obligasi luaran dengan perlindungan rizab kepada hutang luar negara jangka pendek sebanyak 1.3 kali.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melaporkan jumlah eksport Malaysia bagi November 2016 meningkat sebanyak 7.8 peratus.

Peningkatan RM72.83 bilion berbanding RM67.56 bilion untuk tempoh sama 2015 itu, dipacu permintaan memberangsangkan oleh pasaran Asean, China, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Hong Kong dan India.

Memetik Bernama, laporan tersebut turut menunjukkan import pada November 2016 berkembang 11.2 peratus kepada

RM63.80 bilion yang menjadikan jumlah dagangan meningkat 9.3 peratus kepada RM136.63 bilion.

Lebihan dagangan pada November 2016 ialah RM9.03 bilion, menjadikannya bulan ke-229 berturut-turut menyaksikan lebihan berkenaan sejak November 1997.

Jumlah dagangan bagi 11 bulan pertama 2016 naik 0.5 peratus kepada RM1.34 trilion berbanding RM1.33 trilion bagi tempoh sama tahun lepas. – Sarawakvoice

Terbaru