Timun buruk, kacang layu untuk santapan murid luar bandar di Sarawak?

SRI AMAN: Tindakan segelintir pembekal yang membekal bahan mentah kepada sekolah-sekolah di luar bandar dan pedalaman di negeri ini dengan produk yang tidak berkualiti mula dipertikaikan semalam, ketika sesi persekolahan belum pun buka seminggu.

Aktivis sosial, Datuk Wan Abdillah Edruce berkata, kunjungan beliau ke sebuah sekolah pedalaman di sini semalam telah menyaksikan sendiri beberapa sayur yang dibekalkan oleh pembekal yang langsung tidak berkualiti.

“Saya faham para pembekal ini mahukan keuntungan yang tinggi dan berkali-kali ganda.

“Namun jika dibekalkan dengan timun yang bukan sahaja kecil tetapi buruk, serta sayur kacang yang layu, saya rasa siapa pun tidak dapat menerima hakikat ini.

Katanya, inilah dilema yang dihadapi oleh sekolah-sekolah luar bandar di negeri ini, dengan para pembekal yang tidak bertanggungjawab.

“Saya difahamkan keadaan menjadi lebih teruk pada setiap kali musim perayaan, apabila pembekal utama bercuti.

“Produk-produk yang dihantar ke sekolah akan menjadi lebih teruk kualitinya, tidak berkhasiat dan memeningkan tukang masak.

Kata Wan Abdillah, pihak kementerian yang berkaitan perlu memantau perkara ini dengan rapat.

“Kita tidak mahu wang kerajaan dibazirkan begitu sahaja, dan anak-anak kita tidak memperoleh yang sepatutnya.

“Sesiapa pun tidak layak untuk menikmati makanan ‘biasa’ yang tidak berkualiti, apatah lagi anak-anak sekolah rendah yang perlukan makanan berkhasiat,” katanya yang berikrar untuk terus membongkarkan masalah yang dialami oleh sekolah-sekolah di negeri ini. – Sarawakvoice

sayur-buruk01