Gol cantik! Doakan Faiz rangkul Anugerah Puskas FIFA di Zurich Isnin ini

0
3

GEORGE TOWN: Pemain bola sepak Harimau Kumbang, Mohd Faiz Subri bersaing dengan dua pemain antarabangsa Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan wakil tunggal wanita, Danisuka Rodriguez dari Venezuela untuk merangkul Anugerah Puskas.

Jika menang, Faiz akan mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama merangkul anugerah berkenaan pada Anugerah Bola Sepak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 9 Januari, Isnin, di Zurich, Switzerland.

Faiz bertolak dari Pulau Pinang pada Sabtu ini.

Peminat bola sepak tempatan masih berpeluang mengundi jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA, www.fifa.com sebelum tarikh tutup undian Ahad ini.

Menurut Bernama, kini Faiz masih menunggu keputusan FIFA bagi mengizinkannya memakai pakaian tradisional Melayu ketika menghadiri majlis anugerah tersebut.

Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) yang menghadiahkan baju Melayu lengkap bertanjak dan songket asli Melaka bernilai RM3,000, berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat permohonan agar Faiz dapat memakai pakaian tradisional tersebut.

Anugerah Puskas mendapat nama sempena penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas.

Puskas pernah menjulang tiga gelaran Eropah bersama kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.

Semenjak 2009, anugerah yang mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun itu pernah dimenangi Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez. – Sarawakvoice