Duterte akui saudara maranya ada sertai Daesh

MANILA: Presiden Rodrigo Duterte mengaku segelintir saudara maranya melafazkan ikrar taat setia kepada kumpulan militan Daesh  dan berjanji bahawa mereka juga akan dihukum tegas, dan tiada belas kasihan, tanpa mempedulikan sama ada anggota keluarga atau tidak.

“Secara jujur, saya ada sepupu di pihak sebelah sana. Mereka bersama-sama Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF),” beliau dipetik sebagai berkata.

“Saya dengar sebahagiannya menyertai Daesh,” katanya,” akui Duterte yang menerajui negara 100 juta jiwa itu sejak pertengahan tahun lalu.

Sambil menegaskan kesetiaannya adalah kepada negara, Duterte berkata, beliau akan mengarahkan pasukan keselamatan menjejaki mereka yang menyertai pengganas.

“Saya minta maaf, tetapi saya berkhidmat kepada negara, bukan kepada status perhubungan,” tegasnya.

Dalam satu temu bual dengan laman web berita popular, Rappler, Duterte  yang dikenali sebagai pemimpin yang tegas dan lantang berkata, beliau dimaklumkan mengenai sepupunya yang melafazkan ikrar taat atau menyertai Daesh di Mindanao.

Duterte mengaku menerima berita anggota keluarganya menyertai kumpulan militan itu.

“Kamu adalah kamu dan saya adalah saya dan saya berkata, ‘jika kita bertemu dalam keadaan tidak menyenangkan, biarkan saja’,” katanya.

Duterte telah mengambil tindakan keras ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang negara, termasuk pengedar dan penghisap dadah.

Sekurang-kurangnya 4,000 pengedar dan penyalah guna dadah telah terkorban di  tangan pihak berkuasa Filipina setakat ini. – Sarawakvoice