‘Serah diri kepada polis,’ kata polis terhadap lelaki tunjuk lagak berani mati

IPOH:  Serahkan diri kepada polis. Itu gesaan polis terhadap  seorang lelaki yang tunjuk lagak berani mati dengan menaiki kren di sini yang viral melalui media sosial.

Polis semalam meminta  lelaki terbabit yang memanjat kren lebih 10 meter di tapak pembinaan sebuah pusat konvensyen di Jalan Boungainvillea, di sini tampil bagi membantu siasatan.

Lelaki itu telah merakamkan  tindakannya  memanjat kren itu  dan memuat naik klip video berdurasi 1 minit 22 saat melalui Youtube.

Dengan keadaan yang tercungap-cungap, lelaki itu akhirnya sampai di puncak kren, dan terus mengambil gambar, dengan memaparkan bandar raya ini sebagai latar.

Tidak pula diketahui apa tujuan sebenar lelaki itu berbuat demikian, sama ada hendak cari glamor mudah atau cari nahas.

Sebelum ini, sekumpulan remaja menaiki papan iklan dan video berkenaan yang tunjuk lagak berani turun dikecam netizen.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, polis masih  mengenal pasti identiti lelaki tersebut.

Pihak polis telah menerima laporan pegawai keselamatan di tapak pembangunan tersebut  berkaitan pencerobohan yang dilakukan lelaki itu.

Dilaporkan, syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah berkenaan Sycal Ventures Berhad membuat laporan polis berhubung kejadian itu, semalam.

“Pengadu telah memberitahu mendapat mesej daripada seorang pegawai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), iaitu seorang lelaki telah memanjat kren yang digunakan dalam projek berkenaan, “ katanya dalam satu sidang media selepas majlis penyerahan tugas tiga ketua balai polis di IPD Ipoh, semalam.

“Pengadu itu merupakan pegawai keselamatan yang bertanggungjawab terhadap tapak pembinaan yang dicerobohi oleh lelaki yang di dalam video sedang viral itu,” katanya.

“Cuma saya hendak pesan kalau rasa nak panjat itu tolong cari tempat yang sesuai, bukannya tempat larangan atau yang bertuan, itu dah dipanggil menceroboh dan melanggar undang-undang…” katanya.

Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – Sarawakvoice