Pemuda melecur, sebuah kediaman dua tingkat dijilat api di Samariang Batu

0
4

KUCHING: Seorang lelaki melecur di tangan dan kakinya ketika menyelamatkan diri dalam insiden kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Samariang Batu, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 10.53 malam dan dua buah jentera berserta sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan 18 anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dan Kuching.

“Pasukan pertama tiba di lokasi sekitar enam minit kemudian dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah kediaman dua tingkat jenis separuh kekal.

“Operasi pemadaman digerakkan menggunakan empat aliran 200 kaki dan empat nozel dengan sumber air diperoleh daripada pili bomba yang berdekatan.

Katanya, api berjaya dikawal selepas 26 minit dan siasatan kemudian mendapati kediaman berkeluasan 30 kaki x40 kaki ini telah terbakar pada kadar 80 peratus.

Mangsa berusia 23 tahun yang cedera kemudian mendapat rawatan daripada paramedik EMRS.

Punca kebakaran kata Farhan, masih disiasat oleh pasukan forensik bomba. – Sarawakvoice