OUM tawar yuran percuma semester pertama untuk guru KAFA, tadika

KUCHING: Open University Malaysia (OUM) menawarkan yuran pengajian percuma semester pertama kepada guru KAFA dan tadika bagi pendaftaran masuk sesi Januari 2017.

Pengecualian yuran pengajian ini melibatkan program Sarjana Muda Pengajian Islam (Pengurusan Islam) Dengan Kepujian (A9122) dan program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (A6959).

Tawaran khas ini dibuat oleh pengurusan tertinggi OUM pusat.

Hal ini membantu meringankan sedikit bebanan kewangan guru KAFA dan tadika yang berhasrat menyambung pengajian pada sesi kemasukan Januari 2017.

Menurut kenyataan media OUM, tawaran ini sebagai menyokong dasar dan matlamat pendidikan negara yang memberi perhatian serius kepada aspek perkembangan kerohanian pelajar dan pendidikan peringkat awal kanak-kanak yang berkualiti.

Amat penting bagi guru KAFA dan tadika untuk terus berusaha meningkatkan ilmu dan pengetahuan sebagai persediaan menghadapi cabaran arus perubahan semasa.

OUM merupakan universiti terbuka dengan sistem pendidikan jarak jauh yang menawarkan pengajian separuh masa melalui sistem pembelajaran fleksibel.

Di Sarawak terdapat empat pusat pembelajaran OUM, iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu yang menawarkan program diploma, ijazah, sarjana dan kedoktoran.

Menurut Pengarah OUM, Abdullah Bin Borda, sistem pembelajaran OUM fleksibel dan sesuai untuk golongan yang bekerja.

“Dengan belajar di OUM, mereka boleh terus bekerja seperti biasa kerana kelas tutorial hanya dijalankan pada hujung minggu saja,” kata Abdullah.

Menurut beliau lagi, pelajar OUM turut dibekalkan dengan bahan pembelajaran dan sokongan lain seperti bengkel penyediaan tugasan dan khidmat kaunseling dalam usaha membantu proses pembelajaran.

Menurut kenyataan tersebut juga, OUM mengadakan Hari Terbuka pada hujung minggu ini, 7 dan 8 Januari, bertempat di kampus OUM Kuching di Batu 9 ½ Jalan Kuching/ Serian.

Orang ramai dijemput hadir menyertai seminar pendidikan yang diadakan serta melawat gerai pameran dan jualan.

Bagi yang ingin mendaftar pada hari tersebut, mereka dinasihatkan membawa dua keping gambar berukuran pasport, sijil akademik dan dokumen berkaitan.

Untuk maklumat lanjut tentang aktiviti yang dijalankan, sila hubungi Eksekutif Kanan OUM, Joshua Mariyam Duum di talian 082-458602 atau WhatsApp 013-8375587. – Sarawakvoice