Kontraktor punca sekolah pedalaman Sarawak bergelap – Kementerian Pendidikan

KUCHING: Semua bekalan elektrik ke sekolah-sekolah pedalaman di negeri ini berjaya dipulihkan pada 1 Januari lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan di Putrajaya, sekolah-sekolah ini tidak lagi berhadapan masalah terputus bekalan elektrik seperti yang didedahkan oleh sebuah akhbar tempatan hari ini.

“Kesemua sekolah ini merupakan sekolah dari pedalaman Sarawak yang dibekalkan dengan elektrik melalui sistem janakuasa.

“Masalah timbul berikutan kegagalan kontraktor menghantar bekalan diesel bagi menjana kuasa sekolah tersebut sebelum kontrak mereka berakhir.

Kata kenyataan itu lagi, sebanyak 30 kontraktor telah diberikan kontrak untuk membekalkan diesel kepada 369 sekolah di negeri ini sepanjang dua tahun lalu.

“Masalah bagaimanapun berjaya dipulihkan apabila kontraktor baharu melaksanakan tugas tersebut bermula 1 Januari lalu.

Sementara itu, difahamkan, Pengerusi salah sebuah syarikat yang dilantik untuk membekalkan diesel sebelum ini akan mengadakan sidang media mengenai isu tersebut di sini pada pagi esok. – Sarawakvoice