KOTA BHARU: Pertolongan dan bantuan segera diharapkan daripada semua insan yang prihatin dan cakna, kata Setiausaha
Pertubuhan Wanita Peduli Kelantan dalam satu rayuan bagi membantu mangsa banjir.
Menurut Norhasidah Mamat, barangan yang diperlukan adalah seperti pakaian, kain sarung, tuala, selimut, pakaian bayi, pakaian dalam, tuala wanita, lampin pakai buang bayi, peralatan mandian di samping barang makanan seperti beras, gula, tepung, biskut dan sebagainya.
“Kami menerima apa-apa saja sumbangan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya dalam satu kenyataan.
Banjir sedang mengamuk di Kelantan, setakat pagi Rabu seramai 8554 orang mangsa banjir telah berada di pusat pemulihan yang melibatkan sebanyak 2782 bilangan keluarga yang terlibat.
Katanya, sebanyak 79 buah pusat pemindahan telah dibuka yang mana satu masing-masingnya di jajahan Bachok, Tumpat, dan Jeli, empat di Pasir Puteh, enam di jajahan Kota Bharu, 11 di jajahan Kuala Krai, 17 di jajahan Tanah Merah, 11 di jajahan Machang dan 27 di jajahan Pasir Mas.
Jumlah pusat pemindahan dijangka meningkat.
Sebarang sumbangan dalam bentuk wang boleh dimasukkan ke akaun Pertubuhan Wanita Peduli Kelantan di akaun RHB 20305360014354.
“Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua para dermawan yang cakna dan prihatin akan nasib sesama insan,” katanya. – Sarawakvoice