Kerajaan Kelantan beri nyawa kepada pasukan Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan bersedia membantu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi membolehkan The Red Warriors (TRW)  beraksi dalam Liga Malaysia tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmod memaklumkan kerajaan negeri telah diberi taklimat tentang kedudukan kewangan Kafa, semalam.

Fattah turut melahirkan rasa syukur pertemuan tersebut berlangsung dengan baik.

Namun, beliau tidak menyatakan bentuk bantuan yang akan diberikan, tetapi menjelaskan akan membantu Kafa bagi membantu TRW beraksi tahun ini.

Nasib pasukan Kelantan menjadi teka-teki apabila berdepan masalah kewangan untuk mengurus pasukan itu dan membayar gaji pemainnya musim ini.

Kafa  mengancam untuk tidak menyertai Liga Malaysia, dengan mendakwa ia hanya mempunyai RM800,000 hasil sumbangan peniaga kecil, berbanding RM15 juta yang diperlukan untuk mengurus pasukan itu.

“Kaedah atau bantuan yang bakal diberikan akan diperincikan dalam tempoh terdekat,”katanya.

“Kita akan adakan lagi perbincangan dengan pihak Kafa untuk dapatkan jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi,” ujarnya lagi.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob semalam menerima kunjungan hormat pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Affendi Hamzah  di Kompleks Kota Darulnaim.

Affendi  mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menerima kunjungan mereka.

Katanya, beliau mendoakan hasil pertemuan itu membuahkan yang terbaik untuk Kelantan  bersaing pada Liga Malaysia. – Sarawakvoice