IPOH:  Selepas gambar menunjukkan sekumpulan remaja lelaki serta perempuan memanjat papan tanda di sini menjadi viral, terdapat satu lagi video dimuat naik dalam YouTube bertajuk ‘Viral aksi berani remaja lelaki pulak panjat kren.’

Video berdurasi 1:22 minit itu memperlihatkan bagaimana seorang  lelaki memanjat kren dengan melakukan swarakam pelakuannya itu.

Dengan tercungap-cungap, lelaki itu akhirnya sampai di atas sekali, lalu duduk dan terus merakamkan aksi ‘berani’ yang membawa risiko.

Tidak pula diketahui apa yang menyebabkan mereka bertindak berani itu.

Jumaat lepas, satu video cepat viral menunjukkan sekumpulan remaja lelaki dan perempuan melakukan swafoto di papan tanda di Jalan Kuala Kangsar.

Kumpulan remaja berkenaan juga merakamkan aksi baring di dalam buaian yang dipasang pada kerangka tiang papan tanda tersebut.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI)  membuat laporan polis terhadap sekumpulan remaja yang melakukan aksi berbahaya itu.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Zamri Man dipetik berkata pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap sekumpulan remaja tersebut sebelum membuat laporan polis.

Katanya, siasatan itu bagi membolehkan MBI mengambil tindakan ke atas remaja berkenaan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 9 Undang-undang Kecil Vandalisme 1991 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.

“MBI tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak memanjat papan tanda Ipoh kerana ia amat membahayakan nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya di Jalan Kuala Kangsar.

“Ini kerana struktur papan tanda yang didirikan itu bukan untuk menampung beban tambahan seperti berat individu tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Zamri berkata sekiranya berlaku insiden seperti papan tanda itu tumbang dan menimpa pengguna jalan raya, ia berkemungkinan besar berpunca daripada pencerobohan yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab itu.

Difahamkan lapan orang yang terbabit telah menyerah diri kepada pihak polis dan kenyataan mereka telah dirakamkan pagi Isnin.

Jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan hukuman tiga bulan penjara atau denda RM500, atau kedua-duanya sekali. – Sarawakvoice

ipoh-kren-stunt-0001 ipoh-kren-stunt-0003 ipoh-kren-stunt-0002