KUCHING: Sarawak For Sarawakian (S4S) untuk dijual?

Itu pendedahan oleh Fong Pau Teck berhubung tindakan individu yang tidak bertanggungjawab mendaftarkan S4S sebagai sebuah parti politik, sebelum menjualnya kepada mana-mana pihak yang berminat.

Pau Teck berkata, individu tersebut bertindak demikian kerana ingin mengaut keuntungan daripada populariti S4S dalam kalangan masyarakat Sarawak.

“Kita mendapat tahu individu ini telah menawarkan penjualan pemilikan parti yang sedang didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan ini kepada beberapa ‘orang besar’ dan ‘orang kaya’.

“Tetapi setakat ini belum ada yang berani membelinya,” katanya kepada sarawakvoice.com baru-baru ini.

Jelas Pau Teck, beliau percaya tidak mudah usaha untuk mendaftarkan S4S sebagai parti politik bukanlah sesuatu yang mudah.

“Malah saya yakin ia tidak akan diluluskan,” katanya lagi.

Ketika ini katanya, pergerakan tersebut memiliki hampir sejuta pengikut, yang mendaftar melalui facebook yang dikendalikan oleh Beng Khor.

“Pada masa yang sama, kita mempunyai hampir 100 penggerak utama di seluruh negeri.

S4S katanya merupakan semangat yang lama, biarpun gerakan itu hanya diwujudkan tiga empat tahun kebelakangan ini, ketika Tun Abdul Taib Mahmud sewaktu menjadi Ketua Menteri menggesa rakyat mengingati detik 22 Julai 1963 sebagai tarikh penting kemerdekaan Sarawak.

“Malah slogan ini digunakan oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) ketika menentang penyertaan Sarawak dalam Malaysia,” jelasnya lagi.

Ditanya apakah S4S akan bertukar menjadi pertubuhan politik, beliau berkata perkara itu tidak mustahil akan berlaku. – Sarawakvoice