KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat 1,872 orang melibatkan 524 keluarga setakat 9 malam Sabtu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin berkata kesemua mangsa yang dipindahkan ditempatkan di 17 pusat pemindahan mangsa banjir di daerah Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli.

Sementara di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat 3,292 mangsa pada Sabtu malam.

banjir-kelantan01

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 10 malam Sabtu kini terdapat 43 pusat pemindahan di enam daerah Terengganu.

Bernama melaporkan, empat batang sungai utama di Kelantan terus menunjukkan peningkatan paras air sehingga 9 malam ini.

Antara sungai yang meningkat naik paras air ialah Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Sungai Golok di Rantau Panjang.

Di Terengganu, Pemangku Pengarah JKM Terengganu, Rusmi Mahmood berkata 1,936 mangsa banjir di Hulu Terengganu dipindahkan.

Sementara, 395 mangsa banjir di Marang turut dipindahkan, Kemaman 380, Besut 282, Setiu 217 dan Dungun 82.

banjir-kelantan00

Sebagaimana dilaporkan Bernama, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menangguhkan hari pertama sesi persekolahan 2017.

Sebanyak 13 sekolah rendah dan dua sekolah menengah di daerah Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli masih ditutup berikutan laluan ke sekolah terbabit ditenggelami banjir.

Pengarahnya Jaafar Ismail berkata jumlah itu merangkumi lapan sekolah di Kuala Krai, lima sekolah di daerah Tanah Merah dan dua sekolah daerah Jeli.

Lapan sekolah terbabit di daerah Kuala Krai dan lima sekolah di daerah Tanah Merah.

Sementara, di Terengganu, pembukaan sesi persekolahan 2017 bagi 25 sekolah di daerah Huklu Terengganu, dua di Setiu dan satu di Marang turut ditunda susulan banjir.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata penundaan  sekolah melibatkan 2,430 murid sekolah rendah dan 962 pelajar sekolah menengah serta 490 guru. – Sarawakvoice

banjir-kelantan02