Kurikulum baharu untuk pelajar sekolah rendah, menengah dilaksanakan tahun ini

KUALA LUMPUR: Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang telah disemak akan dilaksanakan pada tahun ini, kata Menteri Pendidikan.

Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kurikulum terbabit disemak bagi mengimbangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah dan kepemimlinan dalam kalangan pelajar.

Mahdzir dalam kenyataan di portal rasmi beliau berkata, inisiatif berkenaan terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Kurikulum ini memberi penekanan kepada pengajaran berpusatkan murid dan pengajaran yang dibezakan di samping memberi lebih penekanan kepada penyelesaian masalah,” katanya.

Beliau berkata, selain itu ia juga memberi penekanan kepada tugasan berasaskan projek, memperkemas mata pelajaran atau tema dan melaksanakan pentaksiran formatif.

Untuk itu, kata Mahdzir lagi, Kementerian Pendidikan telah merombak peperiksaan kebangsaan dan pentaksiran berasaskan Sekolah bagi meningkatkan peratusan soalan yang mentaksir kemahiran aras tinggi secara berperingkat.

Ujarnya, guru berkualiti dan kepemimpinan berprestasi tinggi juga ditempatkan di sekolah bagi memastikan murid di seluruh negara dibangunkan secara holistik selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. – Sarawakvoice