MELAKA: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengesahkan kadar indeks jenayah seluruh negara sepanjang 2016 menurun 2.17 peratus iaitu daripada 115,225 kes pada 2015 kepada 112,000 kes pada 2016.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penutup seminar “Strategi Moden Pencegahan Moden dan Ekspo Teknologi” di Bandar Hilir pada Sabtu, Noor Rashid berkata, pelbagai langkah prokatif Polis Diraja Malaysia (PDRM) penyumbang kepada penurunan jenayah dengan kerjasama masyarakat membanteras jenayah.

Menurut Bernama, Noor Rashid berkata PDRM merancang melaksanakan proses pencegahan jenayah menerusi pengawasan komuniti yang lebih efektif melalui penggabungan kepakaran anggota PDRM dengan pendidik dan pemimpin masyarakat.

Beliau berjanji pada 2017, pihak polis berusaha lebih gigih bersama masyarakat mencapai matlamat menurunkan kadar indeks jenayah kepada 5 peratus.

Beliau berkata, pihaknya juga memberi tumpuan khusus menyelesaikan segera kes jenayah yang dilaporkan seterusnya penjenayah ditahan dan didakwa di mahkamah. – Sarawakvoice